HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Februari 2016

Dr M keluar UMNO tidak meninggalkan kesan

 
Penganalisis politik menyifatkan Najib 'keras' dan kekal pendirian untuk terus menjadi Perdana Menteri


mahathir


PETALING JAYA: Penganalisis politik menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar UMNO tidak memberi impak ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Pensyarah Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Andrew Aeria, berkata kedudukan Perdana Menteri kekal kukuh dan sama sekali tidak tergugat.

“Dr Mahathir yang memulakan pemerintahan bercorak ‘autoritarianisme’ dan kini beliau sendiri yang menerima akibatnya.

“Tiada apa yang Dr Mahathir mampu lakukan ketika ini kecuali terus membuat bising. Najib tak seperti Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Andrew berkata, Najib tetap teguh pendirian dan nampak ‘keras’ untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Dr Mahathir terpaksa menelan hakikat itu.

Hari ini, Dr Mahathir dalam sidang medianya mengumumkan keluar UMNO kerana tidak lagi percaya dengan kepemimpinan Najib selaku Presiden UMNO.

Beliau dilaporkan berkata, UMNO kini adalah parti yang bertujuan hanya untuk melindungi Najib.

Sementara itu, Andrew berpenadangan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan keluar UMNO.

Katanya, pengundi masa kini lebih mementingkan isu berkaitan kos sara hidup berbanding kemelut politik yang melanda UMNO.

Ditanya mengenai kemungkinan Dr Mahathir membentuk kerjasama dengan pembangkang untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Andrew berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana bekas Perdana Menteri itu tidak pernah meluahkan hasrat sedemikian.

Tiada ulasan: