HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Februari 2016

Peguam negara lindungi penjenayah?



Datuk Mahfuz Omar


Pendirian bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail mendiamkan diri tidak mahu mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia.

Ini berkaitan dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu yang menyatakan Gani memberitahunya berserta dengan bukti tentang penglibatan Datuk Seri Najib Razak dalam skandal RM42 juta daripada SRC ke dalam akaun peribadi beliau sebagai satu perbuatan jenayah.

Pendirian Gani mendiamkan diri membuktikan kenyataan Muhyiddin yang mendedahkan beliau memberitahu Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri semasa masih menjawat jawatan peguam negara adalah benar.


Jika pendedahan Muhyiddin itu adalah fitnah terhadap Gani sudah tentu beliau boleh menafikan kenyataan itu dan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Muhyiddin.

Pengakuan Gani membuktikan penyingkiran Muhyiddin dan Gani adalah langkah pintas dan pantas Najib menghalang pendakwaan terhadapnya.

Pendedahan Muhyiddin mengenai pengakuan Gani juga bertepatan dengan saranan Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan SPRM mengemukakan semula kertas siasatan kes SRC-RM42 juta kepada peguam negara.

Ini membuktikan PPO mendapati terdapat bukti kes untuk pendakwaan terhadap Najib. Pendedahan Muhyiddin juga satu bukti menunjukkan peguam negara sekarang mencalar nama baik institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang melantik beliau. Pendedahan itu juga menyebabkan persepsi umum yang peguam negara melindungi penjenayah?

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah pertama, saya mengulangi cabaran saya untuk perdana menteri dan peguam negara  membentang kepada Parlimen pada 7 Mac ini Kertas Siasatan SPRM ke atas Skandal SRC-RM42 juta ke dalam akaun Najib jika benar dakwaan peguam negara tiada kes untuk mendakwa Najib.

Ke-2, jika Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi mendapati dakwaan Gani itu satu fitnah maka peguam negara perlu mengambil tindakan undang-undang kepada Gani yang membohongi Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri pada waktu itu.

Ke-3, segera mendakwa Najib dan biar mahkamah yang menentukan sama ada Najib sedar atau tidak wang RM42 juta daripada SRC masuk ke dalam akaun peribadi beliau.

Apandi mengakui wang yang dikatakan daripada SRC sebanyak RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib tanpa disedarinya. Mahkamah perlu diberitahu siapa yang masukkan wang tersebut dan apa yang dilakukan Najib dengan wang tersebut selepas beliau mengetahui wang RM42 juta berada dalam akaunnya.

Apandi harus faham dia adalah peguam kepada negara bukan peguam kepada Najib. Tugas utamanya melindungi kepentingan negara bukan melindungi kepentingan peribadi Najib.

* Datuk Mahfuz Omar ialah ahli Parlimen Pokok Sena.

Tiada ulasan: