HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2016

TPPA bukan lampu ajaib tentukan peningkatan nilai ringgit, kata menteri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan lampu ajaib untuk menentukan peningkatan nilai mata wang negara di pasaran antarabangsa, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
 
Beliau berkata turun naik mata wang negara banyak bergantung kepada pelbagai faktor antaranya harga minyak mentah dan kelembapan ekonomi China serta persepsi hubung kait keduanya dengan ekonomi Malaysia.
 
"Sebenarnya, minyak hanya 8.5% daripada eksport negara manakala eksport utama 80% merupakan barangan pembuatan. Dagangan dengan China pula hanya 16%, bukan 20 atau 30% tetapi disebabkan persepsi, nilai ringgit kita banyak bergantung kepada faktor itu.
 
"Tetapi pada suku keempat tahun lepas apabila berlaku kemasukan modal ke dalam pasaran ekuiti telah menyebabkan sedikit peningkatan nilai ringgit," katanya pada sesi taklimat bersama warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya, hari ini.
 
Menyentuh mengenai hubungan dagangan antara China dan Malaysia, beliau berkata selepas menyertai TPPA, China tetap menjadi rakan dagang utama Malaysia.
 
Menurutnya, China merupakan rakan dagang utama bagi lebih 120 negara termasuk Malaysia.
 
Beliau berkata walaupun ekonomi China dilihat sedikit menyusut, namun ia masih sebuah pasaran besar dan mempunyai pelbagai permintaan dan keperluan.
 
Bercakap kepada pemberita selepas taklimat itu, Mustapa turut memberi jaminan perjanjian TPPA tidak akan memecahbelahkan negara Asean seperti didakwa beberapa pihak, malah hubungan 10 negara itu akan menjadi lebih kukuh.
 
Ditanya mengenai hasrat 3 negara Asean yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada TPP, beliau berkata: "Memang benar, pemimpin Thailand, Filipina dan Indonesia menunjukkan minat itu dan sudah bermula mengetahui lebih lanjut tentang TPP.
 
"Ketiga-tiga negara itu menyatakan hasrat tersebut semasa Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi di Amerika Syarikat baru-baru ini. Anggota negara Asean yang menyertai TPPA akan bersama negara lain untuk memberi penjelasan kepada mereka," katanya.
 
Bagaimanapun, Mustapa berkata kemasukan Thailand, Indonesia dan Filipina hanya akan berlaku selepas 2018 kerana perlu ada persiapan dan perlu memahami proses rundingan perjanjian itu.
 
"Sekarang, pada peringkat memberi penjelasan. Malaysia pun mengambil masa 5 tahun. Ia bukan satu proses yang cepat dan senang. Selepas 2018, 12 negara yang menyertai TPP akan menimbang penyertaan negara baharu dalam TPP," katanya.
 
Mengenai terma perjanjian TPP, Mustapa menjelaskan isu tanah, Bumiputera dan kebudayaan merupakan antara contoh yang terkandung dalam syarat dan terma perjanjian perdagangan itu.
 
"Yang penting ialah Perlembagaan, agama dan dasar penting berkaitan perusahaan kecil dan sederhana, agama Islam serta kuasa Persekutuan dan negeri.
 
"Kita tidak mahu TPPA bercanggah dengan Perlembagaan, kita berjaya memastikan TPPA tidak menyentuh Perlembagaan negara semasa rundingan tersebut," katanya.
 
 

Tiada ulasan: