HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2016

Menteri jelas TMI disekat kerana siar artikel kritik Najib

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
​SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, akses ke laman portal The Malaysian Insider (TMI) disekat kerana menyiarkan satu artikel memetik sumber yang tidak dinamakan daripada anggota Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Salleh berkata, penyiaran artikel yang berkaitan isu membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu boleh mengelirukan rakyat kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi SPRM berkait isu sama. 
 
"Ya, salah satu artikel memetik panel mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi SPRM. 
 
"Sumber itu pun tidak tahu daripada siapa. Itu akan mengelirukan masyarakat. Kita ambil tindakan dan buat siasatan. 
 
"Sebab itu ketua polis negara keluar kenyataan hari ini panggil pengarang TMI," kata Salleh kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini. 
 
Salleh berkata, Putrajaya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kebebasan bersuara namun mengingatkan terdapat undang-undang yang mengawalnya. 
 
"Kita boleh beri cadangan. Tapi ada perkara yang kita kena beritahu. Dalam kes ini (artikel TMI), panel itu tidak dinamakan. Kita perlu bertanggungjawab.
 
"Kita banyak laman web yang kritik kerajaan. Itu tidak ada masalah. Sinar Harian pun pandangan berbeza. Kami tidak mengawal pandangan anda, tetapi perlu berhati-hati," katanya.
 
Beliau berkata, sebaik saja terdapat aduan yang dibuat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web.
 
"Kita kena adil. Kalau ada aduan orang ramai terhadap perkara itu, kepada pemimpin pembangkang, kita juga akan ambil tindakan. Dalam hal ini memang ada aduan.
 
"Kita tidak kisah mana-mana pun, kita akan siasat. Siasatan awal dan disusuli siasatan penuh," katanya.
 
Akses laman web TMI semalam disekat SKMM atas alasan "mengancam keselamatan negara".
 
Sementara itu, dalam ucapannya, Salleh berkata, walaupun kebebasan bersuara wujud dalam negara, kerajaan tidak akan membenarkan berlakunya kebebasan yang merosakkan.
 
"Bagaimana kita mengurus perbezaan? Perbezaan tidak boleh diurus tanpa menghormati.
 
"Kita terikat dengan peraturan. Kita ada 'freedom of speech' (kebebasan bersuara) tetapi tidak 'freedom to destroy' (kebebasan memusnahkan)," katanya.
 
Beliau berkata, pihak SKMM memaklumkan kepadanya susulan aduan membabitkan artikel tersebut, tindakan diambil terhadap TMI dengan menyekat akses ke laman web itu.
 
"Saya dimaklumkan SKMM, mereka menerima aduan umum mengenai artikel di TMI dan mereka membuat penyiasatan awal dan mendapati ada artikel tersebut yang bertentangan dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
 
"Oleh itu, mereka ambil keputusan menyekat akses TMI. Pada ketika ini mereka sedang jalankan penyiasatan lengkap dengan kerjasama polis agar tindakan susulan boleh diambil," katanya.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitter miliknya berkata, Ketua Pengarang TMI Jahabar Sadiq dan beberapa pengarang serta wartawan terbabit dipanggil untuk membantu siasatan.
 
Salleh berkata, SKMM akan bekerjasama dengan polis dalam menjalankan penyiasatan.
 
 

Tiada ulasan: