HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Februari 2016

Muhyiddin: Tuntut perubahan, bukan sekadar desak PM berundur

MALAYSIAKINI




Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata episod hitam yang berlaku di negara telah mematangkan rakyat dan menggesa mereka bersedia bersama menuntut perubahan jika mahu malihat Malaysia kembali sebagai negara yang dihormati dan rakyat hidup lebih sejahtera.

"Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita.

"Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.

"Ia bukan sekadar mendesak perdana menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat.

"Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti," katanya.

Muhyiddin menegaskan demikian dalam satu kenyataan selepas Majlis Tertinggi Umno menggantungnya daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana kritikannya terhadap Najib.

Muhyiddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantungnya dari jawatan timbalan presiden Umno, bukan satu perkara yang mengejutkan.

"Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai timbalan presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan.

"Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.

"Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan timbalan presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu presiden.

"Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu presiden?

"Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan Umno, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

"Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada presiden serta menegur presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan Umno. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

"Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan Umno ke landasan yang betul supaya Umno terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu presiden.

"Adakah membantu presiden itu bermaksud menyokong presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu.

"Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam Umno bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada Umno," kata Muhyiddin.

Hari ini, katanya, tercatat dalam lipatan sejarah Umno, seorang timbalan presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur presiden.

"Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai timbalan presiden," tegasnya.


Tiada ulasan: