HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2016

Pahang bina jalan khas angkut bauksit

 
Satu garis panduan berhubung penggunaan lori tertutup bagi mengangkut bauksit di jalan khas akan dikeluarkan dan lori itu juga tidak boleh melebihi had laju 60 kilometer sejam.


wan junaidi


SEPANG: Kerajaan Negeri Pahang akan membina jalan khas untuk mengangkut bauksit dari Bukit Goh ke pelabuhan Kuantan bagi mengelak pencemaran udara di kawasan perumahan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembinaan jalan sepanjang lebih lima kilometer itu telah dipersetujui oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Jabatan Kerja Raya.

Katanya, usaha pembersihan sedang giat dijalankan di Pelabuhan Kuantan tetapi ada bahagian masih belum bersih kerana lori-lori membawa bauksit masih menggunakan beberapa laluan untuk masuk ke pelabuhan.

“Pihak pelabuhan juga telah bersetuju membuat laluan khas masuk dan keluar serta dermaga khas untuk membawa keluar bauksit. Semua ini perlu dilaksanakan dalam tempoh satu setengah bulan sehingga pelabuhan berada dalam keadaan bersih,” katanya, lapor Bernama.

Wan Junaidi berkata, hasil tinjauan beliau pagi tadi di kawasan berkenaan mendapati, tiada aktiviti perlombongan bauksit dijalankan selaras dengan penguatkuasaan moratorium yang diumum sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya dan Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung penggunaan lori tertutup bagi mengangkut bauksit di jalan khas itu, dan lori itu tidak boleh melebihi had laju 60 kilometer sejam.

“Walaupun lori itu mempunyai satu jalan khas sahaja membawa bauksit, ia (lori) tidak boleh dipandu laju kerana mungkin ada pencemaran habuk,” katanya.

Menurutnya, beliau akan melawat Pelabuhan Kuantan pada penghujung Mac iaitu 15 hari sebelum tempoh moratorium tamat pada 15 April untuk melihat sendiri perkembangannya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, satu prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan oleh pihaknya, yang akan diguna pakai selepas tempoh moratorium tamat.

Katanya, SOP itu meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan di tempat pengekstrakan bauksit, pengangkutan, pengurusan tempat simpanan bauksit di dalam dan luar pelabuhan dan prosedur pengeluaran Permit Eksport (AP) bagi bauksit.

Sehubungan itu, Wan Junaidi turut mengarahkan Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan penyiasatan menyeluruh mengenai degradasi alam sekitar dan sejauh mana ia akan menjejaskan ekonomi petani dan peladang di kawasan dan sekitar kawasan perlombongan bauksit.

Tiada ulasan: