HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2016

Pemimpin Umno bertemu akar umbi perjelas penggantungan Muhyiddin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemimpin-pemimpin Umno akan turun padang bertemu ahli-ahli parti, terutama di Johor dalam usaha memberi penjelasan berkenaan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu.
 
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap mengakui wujud kesukaran ahli-ahli parti menerima keputusan tersebut walaupun ia dilakukan secara konsensus.
 
"Akar umbi memerlukan penjelasan kerana kita tidak tahu apa yang mereka bincangkan di dalam mesyuarat tersebut.
 
"Kita akan menghadapi mesyuarat-mesyuarat Umno di peringkat cawangan dan bahagian tidak lama lagi. Inilah medan yang sesuai untuk kita lihat sokongan dan dokongan ahli-ahli berkaitan kemelut dan isu yang berlaku di dalam Umno.
 
"Dan saya yakin bahawa semua anggota MT Umno yang membuat keputusan pastinya sudah bersedia untuk memberi penerangan berkaitan isu ini apabila bertandang ke bahagian-bahagian kelak," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Anuar mengulas langkah yang akan diambil parti itu dalam meredakan ketegangan penyokong Muhyiddin yang tidak berpuas hati dengan penggantungan pemimpin itu daripada jawatan Timbalan Presiden.
 
Umno Pagoh baru-baru ini membidas beberapa pemimpin Umno Johor yang seolah menyokong tindakan yang dikenakan terhadap Muhyiddin.
 
Namun hal itu dinafikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan menegaskan ia diputuskan secara bersama oleh semua anggota MT Umno dengan bersandarkan pendirian parti.
 
Muhyiddin digantung sebagai Timbalan Presiden Umno serta-merta selepas 'gagal' membantu tugas Presiden dan parti.
 
Tugas dan peranan jawatan nombor dua parti itu diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno.
 
Dalam pada itu, Anuar mengingatkan Umno Johor agar terus bersatu dan memperkukuhkan kekuatan parti memandangkan situasi itu pastinya 'dipergunakan' pembangkang rentetan 'nasib' yang dilalui Muhyiddin ketika ini.
 
"Suka atau tidak apa pun sahaja keputusan yang dibuat akan memberikan kesan. Ada yang akan ambil kesempatan seperti pembangkang yang kita tahu mereka pun suka 'kumpul' mereka yang tersisih daripada Umno-Barisan Nasional," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: