HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Sultan: Kita bersalaman semua bagi jaga hati, maruah

MALAYSIAKINI




Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar mahu rakyat menghenti menjadikan tindakan baginda dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail bersalaman dengan orang ramai sebagai satu isu.

Titahnya, baginda bersalaman dengan semua lapisan masyarakat, tidak kira lelaki atau perempuan kerana peranan baginda sebagai raja.

“Saya bukan suka suka bersalaman dengan wanita, tetapi sebagai raja saya amat prihatin dengan hasrat rakyat yang ingin bersalaman.

“Saya ingin menjaga hati dan maruah rakyat yang mungkin tidak senang hati sekiranya hasrat mereka menghulurkan tangan untuk bersalam tidak disambut.

“Terima kasih atas teguran, tetapi bukankah keprihatinan raja terhadap rakyatnya merupakan perkara yang dituntut oleh agama?” soal Sultan Ibrahim ketika berucap merasmikan peringkat Pertandingan Bacaan al-Quran Johor ke-60 di Dataran Tanjung Emas, semalam.

Sehubungan itu, titah baginda, semua pihak perlu berhenti mencari publisiti untuk kepentingan peribadi tetapi sebenarnya merosakkan perpaduan rakyat yang telah dibina selama ini.

Tunku Mahkota Johor sebelum ini dibidas oleh pengkritiknya kerana bersalaman dengan isteri pemain Johor Darul Ta’azim,(JDT), Safiq Rahim.

Baginda bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan berkata masalah sekarang adalah terlalu ramai yang cuba menjadi lebih bijak daripada Al-Quran.

“Saya seorang Muslim dan agama suci Islam adalah lebih utama daripada saya. Saya akui yang saya bukan pakar tetapi apabila ia berkaitan dengan agama Islam, satu perkara yang saya percaya adalah Allah SWT akan memberkati anda, jika anda mempunyai hati yang baik, amanah, jujur, bantu-membantu dan menghormati orang lain.

“Terdapat banyak mazhab di dalam Islam. Siapa kita untuk mengatakan siapa antara kita akan ke syurga?” soal baginda dalam satu posting di Facebook.

Titahnya lagi, ramai yang mahu menghukum orang lain terutama mengenai perkara-perkara kecil sedangkan Islam adalah tentang kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain.

Sambil mengingatkan bahawa baginda dilahirkan untuk menjadi raja, baginda juga hanya seorang manusia dan tidak mempunyai hak untuk mengadili mereka.

“Untuk sekalian rakyat Johor jadilah seorang Muslim, tetapi bukan dengan begitu taksub.

“Jadi seorang Muslim dengan menghormati satu sama lain. Johor mempunyai tradisi sendiri dan budaya, dan begitu juga dengan negeri-negeri lain. Kita semua berbeza.

“Berbeza dalam ajaran Islam, berbeza dalam agama agama yang lain dan berbeza puak etnik. Menuding jari dan menilai satu sama lain tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik,” katanya.

Baginda kemudian memuat-naikan sebuah video yang menyindir para pengkritiknya dengan .
memaparkan baginda secara tiba-tiba disapa oleh peminat wanita ketika menuju ke kenderaannya.

Baginda terpaksa memakai sarung tangan tebal berwarna hijau yang dibawa oleh seorang pembantunya sebelum boleh bersalaman dengan dua wanita berkenaan.


Tiada ulasan: