Gabungan Ketua Cawangan Umno (GKCM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia bagi menuntut penjelasan berhubung derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata memorandum tersebut diserahkan sekitar jam 12 tengah hari kepada wakil Duta Arab Saudi.
“GKCM telah meminta pihak Arab Saudi untuk bantu memulihkan semula maruah negara kita yang telah tercemar teruk gara-gara isu RM2.6 bilion dan menjadi bahan tawa masyarakat antarabangsa,” kata Kamarulazman ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Kamarulazman, pihaknya juga telah menggariskan 10 soalan kepada kedutaan tersebut.
Antara lain ia menimbulkan siapakah yang memberikan wang itu, bilakah wang tersebut dimasukkan serta apakah jenis derma dan tujuan wang itu diberikan.
Memorandum itu juga menyoal apakah wang itu untuk kegunaan peribadi Najib dan sama ada baki derma itu telah dikembalikan sebagaimana didakwa.
Selain itu, ia juga meminta Arab Saudi mendedahkan putera Raja Saudi yang mendermakan wang berkenaan dan hubungannya dengan Najib.
Mengulas lanjut, Kamarulazman berkata, Kedutaan Arab Saudi menerima baik kedatangan mereka dan berjanji untuk menjawab kesemua soalan yang dikemukakan.
Kata Kamarulazman lagi, tindakan GKCM menghantar surat itu kerana tidak mempercayai keputusan siasatan yang dibuat Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Apandi sebelum ini memutuskan bahawa Najib bebas daripada sebarang salah laku jenayah dalam isu derma berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan