SHAH ALAM: Ahli Umno diyakini mampu melalui situasi getir yang berlaku
dalam parti kini susulan penggantungan Timbalan Presidennya, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, demikian menurut Utusan Malaysia.
Akhbar itu menerusi ruangan pojok edisi Mingguan Malaysia berkata, ini
berdasarkan sejarah lalu yang membuatkan parti cukup berpengalaman dalam
menangani gelora politik sejak penubuhannya hampir 70 tahun lalu.
"Krisis politik pada 1987 yang menyaksikan parti itu terpecah dua iaitu
pasukan A dan B, jauh lebih buruk selain krisis pemecatan Anwar (Datuk
Seri Anwar Ibrahim) pada 1998 yang pada ketika itu Timbalan Presiden.
"Sejarah bagaikan berulang. Walau apapun dugaannya, bahtera Umno perlu
berlayar, dengan kata lain parti sangat diutamakan," kata akhbar itu.
Walaupun mendapat sedikit tentangan daripada Umno Pagoh iaitu bahagian
yang diketuai Muhyiddin, namun menurut akhbar itu, keadaan sedikit
tenang dengan Umno Johor sendiri turut akur dengan keputusan Majlis
Tertinggi yang dibuat Jumaat lalu, berbanding ketika pemecatan Anwar
yang menyaksikan demonstrasi jalanan tercetus ekoran rasa tidak puas
hati penyokong parti.
Katanya juga, tindakan seumpama yang dikenakan terhadap Muhyiddin itu
pasti akan diambil oleh mana-mana organisasi politik jika ianya
bercanggah dengan prinsip kebersamaan parti.
"Beliau (Muhyiddin) telah memilih laluannya sendiri termasuk
menggunakan saluran luar parti untuk terus menyerang dan mengkritik
kepimpinan.
"Mana-mana organisasi politik tidak akan berkompromi terhadap tindakan
seperti itu yang bercanggah dengan prinsip kebersamaan, peraturan dan
disiplin parti," katanya.
Muhyiddin, 69, digantung jawatan sebagai timbalan presiden berkuatkuasa
serta merta sehingga tempoh pemilihan parti akan datang pada 2018.
Penggantungan berkenaan dibuat ekoran kegagalan beliau gagal menjalankan peranannya untuk membantu presiden.
Tindakan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu diambil mengikut
Fasal 10.15 Perlembagaan Umno, berdasarkan siri kritikan terbukanya
berhubung beberapa isu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd
Najib Razak.
Umno Johor menerusi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negerinya, Datuk
Mohamed Khaled Nordin mengakui Johor bakal berhadapan cabaran besar
dalam politik selepas penggantungan jawatan Muhyiddin selaku orang kedua
dalam parti.
Ujar Khaled, parti perlu bekerja lebih keras untuk mendepani cabaran tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan