HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mac 2016

'Kami tak makan dedak sesiapa'

Mahathir Mohamed
Mahathir Mohamed
 

SAYA diberitahu bahawa ramai ahli dan pemimpin bawahan Umno marah kerana saya berada bersama Kit Siang dalam usaha menjatuhkan Dato Seri Najib.

Ya, ini memang pelik dan aneh. Kami adalah musuh ketat. Tetapi kami berdua mempunyai pendirian yang sama berkenaan penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri.

Sepatutnya penyingkiran ini dibuat oleh Umno. Dalam pertandingan antara saya dengan Tengku Razaleigh ahli dan pemimpin Umno secara terang boleh memihak kepada Tengku Razaleigh. Saya tidak menakutkan mereka, tidak membuang mereka dari jawatan atau parti. Yang Menteri terus jadi Menteri, demikian juga Ketua Bahagian dan perwakilan.

Tetapi hari ini kebanyakan ahli dan pemimpin Umno sudah jadi bisu, pekak dan buta. Mereka tahu kesalahan Najib tetapi mereka sokong juga Najib. Walau apa pun kesalahan yang dilakukan oleh Najib mereka tetap sokong.

Mungkin kerana dedak yang disuap oleh Najib. Shahrir mengaku dia terima 1 juta dan Ahmad Maslan 2 juta (laporan di sini). Takkan yang lain tidak dapat habuan.

Kerana kepentingan diri dan tamak Umno tidak akan menjatuhkan Najib. Kerana kepentingan diri, bangsa, negara dan agama juga sanggup dijual. Tidak ada ahli Umno selain daripada beberapa Ketua Cawangan yang berani menentang Najib. Kalau nak harap Umno jatuhkan Najib, tidak mungkin.

Ini bukan Umno lagi. Janganlah berlagak sebagai ahli Umno yang kononnya tidak sanggup melihat saya bersama Kit Siang. Yang tidak sayang Umno ialah kamu sekalian, kamu yang membisu, kamu yang pekak dan buta kerana semua anggota ini sudah ditutup dengan dedak dan lain-lain.

Jangan soal saya. Soal diri sendiri. Apakah kamu berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair apabila kamu melindungi perbuatan Najib menghilangkan duit rakyat dan sekarang menjual tanah yang dibeli dari Kerajaan berharga RM60/- satu kaki persegi dan dijual kepada Tabung Haji dengan harga RM3,500/- satu kaki persegi, mengenakan cukai G.S.T. keatas rakyat dan menghapuskan subsidi untuk bayar hutang 1MDB sebanyak 42 billion Ringgit, memiliki 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi yang disembunyi daripada rakyat, kononnya untuk PRU 13 tetapi, kononnya belanja lebih dari 1 billion Ringgit untuk PRU 13 tetapi kemudian hantar balik kepada penderma 2.03 billion.

Tak masuk akal 2.6 tolak 2.03 tinggal berapa? Dari mana datang 1 billion lebih yang kononnya dibelanja untuk PRU 13. Perbelanjaan yang begini banyak menyalahi undang-undang.

Najib memalukan negara kerana Malaysia sekarang dikenali sebagai 1 dari 10 negara yang mengamal rasuah terbesar. Najib sendiri dicemuh diseluruh dunia. Inilah pemimpin yang awak sokong dan pertahan. Ini adalah pengkhianatan terhadap Umno, terhadap orang Melayu, terhadap negara.

Rakyat lebih benci melihat ahli Umno yang menyokong Najib daripada ahli Umno berada diatas pentas bersama Kit Siang untuk menjatuhkan Najib. Kami tak makan dedak sesiapa

***Tun Dr Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri

Tiada ulasan: