BORHAN AHMAD
Datuk Husam Musa menggesa PAS agar segera membuat keputusan untuk
bersama-sama dengan kebangkitan rakyat menolak kemungkaran yang dibuat
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Saya nasihatkan parti saya supaya cepat-cepat bersama dengan
kebangkitan rakyat ini dengan menolak kemungkaran Najib dengan mempunyai
pendirian yang tegas dan selari dengan rakyat," kata bekas naib
presiden PAS itu di Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia di Pandan Jaya
malam tadi.
Husam
yang juga Adun Salor, Kelantan hairan dengan pendirian presiden dan
mursyidul am parti itu yang tidak tegas dalam membuat pendirian dalam
sesuatu perkara.
"Cara presiden saya dan mursyidul am saya bercakap tonggang-langgang.
Mereka kata Najib kena kekal sampai pilihan raya kerana takut huru-hara
berlaku (jika Najib turun).
"Tun Mahathir dan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) berhenti
tiada huru-hara pun, takkan Najib lebih hebat dari Mahathir dan Pak Lah
sehingga kalau dia berhenti Malaysia mesti huru-hara," kata Husam di
majlis itu yang turut disertai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan
isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali.
Bagi Husam, kalau dibiarkan kemungkaran yang dilakukan oleh Najib ini ia bertentangan dengan prinsip Islam.
"Kita akan bercanggah dengan prinsip Islam iaitu tidak tegur
kemungkaran yang dibuat. Mudarat kepada negara, pecah amanah dan salah
laku ini kita biar kerana semata-mata ada sedikit sebanyak perkara yang
saya tak tahu apa dia, yang saya yakin bukan kerana dedak.
"Saya harap parti saya tak makan dedak," kata Husam yang disambut tepukan gemuruh kira-kira 5,000 yang hadir.
Husam menegaskan, dia membuat teguran terbuka ini kerana mahu
pemimpin dan ahli PAS turut bersama dalam arus perdana politik negara
ini.
"Ahli dan pemimpin saya perlu bersama dan jangan ragu-ragu untuk
menyertai kebangkitan ini kerana ia disokong oleh semua rakyat," kata
Husam.
Beliau juga berdoa agar Mahathir yang sudah berumur 92 tahun itu panjang umur untuk melihat perubahan ini.
"Saya berdoa agar Tun Mahathir panjang umur supaya boleh melihat perubahan itu dan boleh bangga melihatnya nanti," kata Husam.
Bagi beliau, semua rakyat sudah bosan dan jemu dengan apa yang
berlaku dalam negara ini dan "kita perlu satu jalan keluar dengan satu
formula baru untuk selamatkan negara di masa depan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan