HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2016

Pegawai masjid kesal insiden pergaduhan pengantin

Shakira Buang  




Naqib Masjid Jamek Al Khadijiah di Pantai Dalam Kuala Lumpur kesal dengan insiden pergaduhan melibatkan dua keluarga pengantin yang menjadi viral di laman sosial baru baru ini.

Shahril Abd Samat selaku pentadbir masjid berkenaan berkata kejadian pergaduhan itu tidak sepatutnya berlaku di kawasan masjid yang seharusnya dipelihara kesuciannya.

"Tak ada orang nak marah kalau tak buat (akad nikah) di masjid. Tapi kalau tak jaga adab dan akhlak dekat rumah pun orang marah inikan pula dalam rumah Allah.

"Saya sebagai pentadbir masjid memang kita tak berkenanlah dengan perkara sebegini," katanya kepada Malaysiakini.

Menceritakan kejadian itu, Shahril yang kebetulan berada di pejabat masjid berkenaan berkata beliau terdengar kekecohan sebelum bergegas bagi melihat keadaan.

Bagaimanapun beliau tidak pasti apa punca sebenar pergaduhan melibatkan dua keluarga berkenaan.

"Susah nak cakap apa punca pergaduhan itu sebab saya tak terlibat secara langsung. Saya pun hanya bertanggungjawab meleraikan pergaduhan dan pergelutan waktu itu supaya mereka beredar sebab kita tak nak ada pergaduhan berlaku.

"Tak sepatutnya majlis yang baik jadi tak baik," kata Shahril.

Media sebelum ini melaporkan pengantin lelaki berkenaan yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan ditumbuk ahli keluarga wanita terbabit dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang.

Mangsa dilapor ditumbuk selepas mahu beredar kerana tidak dibenarkan meneruskan majlis akad nikah gara-gara tidak menyediakan wang hantaran mencukupi sebanyak RM15,000.

Memetik laporan Kosmo, ahli keluarga mangsa sebelum ini sudah bersetuju membayar jumlah hantaran RM15,000 dengan bayaran secara ansuran sebanyak RM10,000 sebelum majlis perkahwinan, manakala baki dibayar selepas itu.

Namun ekoran gagal menyediakan jumlah wang hantaran secukupnya, keadaan di perkarangan masjid bertukar kecoh dengan aksi memaki hamun dan pergelutan antara kedua-dua ahli keluarga berkenaan.

Jatuhkan imej Islam

Mengulas lanjut Sharil berkata pada kebiasaannya masjid akan dijadikan tempat majlis akad nikah manakala acara pertunangan dibuat di rumah.

Namun, berbeza dengan pasangan ini apabila mereka memilih untuk bertunang dan mahu terus melangsungkan akad nikah di masjid.

"Sebab bila dalam majlis pertunangan itu ada perbincangan dari sudut hantaran, perjanjian dan sebagainya.

"Tetapi pasangan ini lepas bertunang terus nak akad nikah. Itu yang berlaku (pergaduhan) bila keputusan dibuat di saat-saat akhir," ujarnya.

Kata Shahril lagi, tidak ada masalah bagi mana-mana pihak berbincang mengenai wang hantaran namun adalah penting untuk menjaga adab, apatah lagi berlaku di kawasan masjid.

"Kesan dia besar dan pandangan bukan Islam mungkin jatuhlah (imej Islam) sebab perkara ini berlaku di masjid.

"Kadang-kadang kita ini lebih utamakan adat tapi dalam meraikan adat, adab tidak dijaga. Jadi kesan dia besarlah," kata Shahril yang mengakui nama masjid itu semakin dikenali gara-gara kejadian itu.

Justeru Shahril yang mengakui pertama kali berdepan situasi seperti itu meminta semua pihak agar lebih sensitif dalam isu menjaga akhlak di rumah Allah ini.

"Kalau rasa tak boleh jaga akhlak tak datang masjid pun tak apa," tegas Shahril.

Lihat dua lelaki bertumbuk

Sementara itu, saksi kejadian Cik Nurfarahim Mohd Sa'ri, 26 berkata beliau berada di pejabat masjid sebelum dua lelaki bertengkar hingga menyebabkan kerosakan pada kerusi simen dan kereta rombongan pengantin yang terletak di perkarangan masjid.

“Sebelum mereka bergaduh, saya terdengar ada pertengkaran antara kedua belah keluarga namun tidak dapat sahkan apakah ia melibatkan wang hantaran sehingga mereka membatalkan sesi akad nikah sebab berlaku salah faham.

“Tidak lama kemudian saya melihat dua lelaki bertumbuk di luar sebelum dileraikan orang ramai,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan.

Sementara itu Hussien Jaabar, 55, peniaga kafe di perkarangan masjid itu turut menyatakan kesal atas insiden berkenaan.

"Mereka mesti tahu ini kawasan masjid dan perkara ini boleh dibawa berbincang. Setakat nak bayar (baki hantaran) bila-bila masa sekalipin ia boleh dibincangkan kedua-dua pihak.

"Tapi, ini semua takdir dan mungkin ada pengajaran yang kita sendiri tak tahu," tambah Hussien.

Malaysiakini difahamkan majlis kenduri pihak perempuan tetap berlangsung di PPR Kampung Limau namun hanya sebagai majlis kenduri kesyukuran.

Sementara itu, cubaan untuk menghubungi pihak lelaki bagi mendapatkan penjelasan tidak berhasil.

Bagaimanapun pihak pengantin lelaki dikatakan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Pantai berhubung kejadian itu.


Tiada ulasan: