Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said terus enggan melayan sebarang soalan yang berkaiatan kontroversi dan skandal RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan ia adalah subjudis.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, beliau menolak soalan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) yang meminta perdana menteri menyatakan sebab sebenar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkannya daripada sebarang salah laku kerana menerima wang RM2.6 bilion dari penderma dan RM42 juta dari SRC International.
Hanipa juga ingin tahu di mana baki RM570 juta selepas Najib mendakwa telah mengembalikan RM2.03 bilion 'derma' yang diterimanya itu.
Azalina tetap memberi alasan ‘subjudis di sebalik amaran Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia minggu lalu supaya tidak mendahului kuasanya berhubung halangan soalan berkaitan RM2.6 bilion tidak boleh dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Azalina, bagaimanapun, tidak menyebut mengenai Perintah Tetap dalam jawapannya kepada Hanipa.
Azalina sebelum ini menangkis soalan ahli parlimen pembangkang dengan berkata soalan berhubung ‘derma politik’ RM2.6 bilion tidak lagi boleh dibangkitkan berikutan semakan kehakiman yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia terhadap Apandi.
Badan Peguam mengheret Peguam Negara ke mahkamah kerana keputusannya untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Najib dan ‘membersihkan’ perdana menteri.
Najib telah berulang-kali menafikan sebarang salah laku berikutan dakwaan itu, dan berkata percubaan tersebut adalah plot untuk menjatuhkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan