HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mac 2016

1MDB nafi sebabkan kelewatan bayaran kepada anggota tentera

BERNAMA


1MDB nafi sebabkan kelewatan bayaran kepada anggota tentera
1MDB menafikan sekeras-kerasnya bahawa ia menjadi punca bagi sebarang kelewatan pembayaran kepada anggota angkatan tentera. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB)menafikan sekeras-kerasnya ia menjadi punca bagi sebarang kelewatan pembayaran kepada anggota angkatan tentera.

Syarikat itu mengulangi pengesahannya pada 21 Mac bahawa semua bayaran kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM), anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), seperti yang terkandung dalam kontrak, dibuat mengikut waktunya dan tidak terdapat tunggakan.

"1MDB merujuk kepada pendedahan Rafizi Ramli (naib presiden PKR) hari ini tentang apa yang beliau tegaskan kononnya sebagai sedutan daripada Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, yang mengikut kefahaman kami, terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Walaupun 1MDB sebelum ini mengesahkan bahawa ia mengalami ketakpadanan aliran tunai pada 2015, tetapi syarikat ini ingin mengulangi pengesahan yang dibuatnya pada 21 Mac bahawa semua bayaran kepada PPHM seperti yang terkandung dalam kontrak, dibuat mengikut masanya dan tidak berlaku kelewatan pembayaran.

"Begitu juga, 1MDB menafikan sekeras-kerasnya bahawa ia menjadi punca bagi sebarang kelewatan pembayaran kepada anggota angkatan tentera," kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu berkata, 1MDB difahamkan bahawa apabila tiba masanya, LTAT akan memberi penjelasan yang akan memaparkan secara eksklusif kepalsuan mengenai apa yang dikatakan sebagai hubungan antara kontrak 1MDB dengan PPHM dan bayaran LTAT kepada anggota angkatan tentera.

"Hubungan yang dikatakan itu adalah suatu pembohongan yang sengaja direka Rafizi, yang tanpa segan silu, cuba menggambarkannya sebagai suatu fakta.

"Lebih penting lagi, sekiranya Rafizi mendakwa apa dilakukannya itu adalah betul, maka beliau bukan sahaja menunjukkan yang beliau tidak langsung menghiraukan tentang undang-undang, tetapi juga secara terang-terangan menghina siasatan yang sedang dilakukan PAC, sebuah jawatankuasa pilihan khas parlimen yang bersifat dwi-partisan," katanya.

Oleh demikian, kata kenyataan itu, Rafizi tidak boleh mendakwa bahawa beliau adalah seorang "pemberi maklumat" atau bertindak demi kepentingan orang ramai kerana sebagai sebuah pihak berkuasa yang sah di sisi undang-undang serta mempunyai lima anggota pembangkang, PAC telah mempunyai akses dan sedang mengkaji semula Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.
"1MDB percaya bahawa pihak berkuasa berkenaan dan Parlimen akan menyiasat secara mendalam dakwaan Anggota Parlimen Pandan itu bahawa beliau telah berkongsi secara terbuka suatu dokumen yang diletakan di bawah OSA, yang sebaliknya, menjadi sebahagian daripada siasatan peringkat Parlimen yang sedang dijalankan.

"Sekiranya didapati berlaku sesuatu salah laku, kami percaya tindakan akan diambil mengikut undang-undang," kata kenyataan itu. 

Tiada ulasan: