shahbudindotcom
Najib
Razak hanya mula menjadi Perdana Menteri sejak 2009 atau kira-kira
lebih enam tahun sehingga hari ini, tetapi barangkali rekodnya sukar
ditandingi oleh mana-mana ketua negara dalam dunia ini dari segi
kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya.
Dalam
hal yang satu itu, Najib bukan saja dianggap "juara" di antara semua
Perdana Menteri Malaysia yang ada, bahkan boleh dinobatkan juga sebagai
yang "terbaik" di peringkat dunia dan antarabangsa.
Jika
sebelum ini, kita mengetahui hanya RM2,600 juta yang diterimanya,
konon dalam bentuk derma, namun hasil siasaan media antarabangsa
menunjukkan jumlah yang lebih besar daripada itu.
Angka terbaru oleh ABC News menunjukkan jumlah yang dipercayai telah masuk ke akaun peribadi Najib sudah mencecah RM4,200 juta.
Wang
itu pula bukan mula mengalir masuk pada 2013, tetapi sejak 2011 lagi
iaitu tidak sampai pun dua tahun beliau memanaskan kerusi Perdana
Menteri.
Pernahkah kita mendengar mana-mana Perdana Menteri ada rekod kemampuan seperti itu?
Sepanjang
dunia ini wujud, sudah tentu Najiblah penerima derma tunggal terbesar
yang pernah ada. Tidak pernah ada sebelum ini dan tidak mungkin ada
selepasnya.
Itu, kalau kita mahu menerima bulat-bulat wang itu sebagai derma, bagaimana kalau ia bukan derma?
Oleh
itu, bolehkah kita bayangkan jika Najib lebih lama menjadi Perdana
Menteri atau terus kekal lagi selepas pilihanraya 2018 nanti?
Dengan
wang yang sebegitu banyak, laporan terbaru media antarabangsa juga
menyebut Najib telah membelanjakan sekitar RM60 juta untuk percutian,
membeli belah dan barang kemas mewah yang dibelinya di Amerika Syarikat,
Malaysia, Italy dan berbagai negara lain lagi.
Kalau
pun benar semua wang yang diterimanya itu sebagai derma dan penderma
turut memberi kebebasan untuknya berbelanja sesuka hati, bukankah
disebut juga bahawa wang itu untuk kesederhanaan Islam dan memerangi
keganasan antarabangsa?
Maka, kenapa sehingga RM60 juta digunakan untuk bercuti, membeli belah dan barang kemas?
Tidakkah itu menunjukkan adanya elemen keganasan dalam membeli belah dan bermewah dalam diri Najib sendiri?
Secara
moralnya, baik disudut Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak beretika
masa sekali bagi seorang Perdana Menteri memiliki wang sebanyak itu,
baik sama ada ia derma atau apa jenis sekali pun.
Ia
akan menimbulkan keraguan tentang sumber wang itu diperolehi serta
keperluan memilikinya, apatah lagi jika didapati ia turut dibelanjakan
untuk bermewah dan bermegah.
Sebab
itu, dari segi penerimaan umum, prestasi Najib boleh dikatakan sudah
musnah di kalangan rakyat biasa. Semakin sedikit yang menilainya sebagai
pemimpin yang baik dan boleh diharapkan untuk masa depan negara ini.
Yang
mempertahankan Najib bukan lagi kerana kepentingan negara dan rakyat,
tetapi lebih kerana dedak sebagai upahnya. Dengan wang sebanyak RM4,200
juta yang dimilikinya, sudah tentu apa gred dedak sekali pun mampu
dibekalkan, asalkan sedia menurut perintahnya.
Dan itulah yang dilakukan Najib. "Cash telah menjadikannya King".
Untungnya
Najib ialah kerana rakyat negara ini terdiri daripada berbagai kaum
dengan majoritinya pula adalah Melayu. Dengan itu, sentimen Melayu dan
perkauman bila-bila masa boleh dimainkan atau dimanipulasi untuk
menyelamatkannya.
Jika
tidak, jangankan sehingga RM4,200 juta dalam akaun peribadi, diketahui
memiliki sebanyak RM42 juta pun sudah lama membuatkan Najib terpelanting
daripada kedudukannya.
Atas
hakikat tersebut, mungkin lebih masa dan kekuatan diperlukan untuk
menolak Najib yang akaun peribadinya bertambah RM4,200 juta hanya dalam
tempoh enam tahun duduk di kerusi Perdana Menteri kerana di samping
kesedaran kepada rakyat harus dipertingkatkan, beliau dan
jentera-jenteranya dalam masa yang sama tidak putus-putus sedang
berusaha melencongkannya ke arah lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan