Anggota keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan cuba mendapatkan parol untuk pemenjaraan ketua umum PKR itu, kata anaknya Nurul Izzah.
Anggota parlimen Lembah Pantai itu mengulas pemberian parol kepada bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo.
“Tidak, kes kami jelas, Anwar tidak bersalah,” tegasnya kepada media di parlimen hari ini.
Sebaliknya, kata naib presiden PKR itu (gambar), pihaknya sudah dua kali merayu kepada Lembaga Penganmpunan terhadap hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar.
Dalam masa yang sama, katanya, mereka juga akan menyaman pihak berkuasa penjara dan kerajaan.
Khir semalam diberikan parol selepas menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan menggunakan kedudukan untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, sembilan tahun lepas.
Tiba di kediaman keluarganya di Shah Alam awal malam semalam, beliau perlu melaporkan diri ke pejabat Lembaga Parol di Klang setiap minggu dan perlu mematuhi 41 syarat selama tempoh parol.
Antara syarat parol, Khir mesti berada di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya, berada di rumah antara 7 malam hingga 7 pagi dan tidak boleh keluarkan kenyataan kepada media.
Melalui sistem parol, banduan akan menjalani baki hukuman di luar penjara untuk tinggal bersama keluarga. Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Pada 22 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Khir dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.
Harta tanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta daripada Ditamas Sdn Bhd sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan