Oleh Syahir Sulaiman
"Dan sebahagian daripada ayat-ayatNya (dalil ketuhanan Allah dan kuasaNya) ialah mencipta langit dan bumi, dan menjadikan kamu berbagai bahasa dan warna. Sesungguhnya itu semua menjadi tanda-tanda (dalil-dalil) bagi semua orang-orang yang mengetahui." (Ar-Rum: 22)
Belajar Untuk Periksa
Teringat ketika di bangku sekolah, setiap kali peperiksaan menjengah, hati pasti berasa gundah.
Tiada masa untuk bermain berlari, siang dan malam kelas dihadiri, ujian peperiksaan disusun bersiri, “Tak sabar nak merdeka” getus hati setiap hari.
Orientasi peperiksaan menyebabkan kita lupa akan dasar dan falsafah pendidikan. Tekanan di bangku sekolah memaksa murid-murid berlumba mengejar ‘A’ dalam peperiksaan. Lebih malang apabila prestasi peperiksaan dijadikan penentu kejayaan, wujud budaya persaingan tidak sihat yang membibitkan tekanan dan penipuan, yang mencemar kesucian falsafah dan nilai pendidikan.
Polemik Dwi-Bahasa
Pepatah Melayu ada menyebut, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
Setelah lebih 58 tahun merdeka, kita masih belum temui formula penguasaan bahasa yang seimbang. Di satu pihak mahu Bahasa Melayu dimartabatkan, manakala di satu pihak mahu Bahasa Inggeris diperkasakan. Sudahlah tulisan jawi menjadi warisan, kini nasib bahasa moden pula menjadi taruhan.
Bahasa adalah fitrah kejadian manusia yang pelbagai. Ia adalah medium pengantara untuk berkomunikasi dan menimba ilmu. Sewajarnya, bagi mengilmukan sesuatu bangsa dengan ilmu asasi, maka perlulah dipelajari dalam bahasa ibunda sendiri. Seterusnya bagi menambahkan kepakaran ke tahap lebih tinggi, bolehlah kita pelajarinya dengan bahasa asing, dengan tujuan untuk dikongsi bersama anak bangsa yang tidak berpeluang mendalami.
Memetik tulisan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berjudul ‘Bahasa Jiwa Bangsa Dan DLP’:
“Semua bangsa yang menganut Islam selepas bangsa arab berjaya memimpin dunia Islam dan tamadunnya dengan bergantung kepada bahasa ibunda masing-masing yang berteraskan Islam sehingga menggunakan bahasa mereka bertulisankan huruf bahasa Al-Quran yang di tambah dengan huruf bunyi bahasanya, seperti bahasa Parsi, Turki dan Urdu. Termasuk Bahasa Melayu bertulisan huruf Al-Quran, sehingga mencipta tamadun Melayu Islam dengan Bahasa Melayu yang digunakan oleh rantau Asia Tenggara yang berjumlah lebih daripada tiga ratus juta pada hari ini.
Dunia kini menyaksikan kebangkitan bangsa saperti Jerman dan Jepun yang kalah teruk dalam perang dunia, China, Korea, Perancis dan lain-lain negara yang mencapai tahap negara maju, adalah melalui pendidikan awal dan tinggi dalam negaranya dengan bahasanya sendiri. Bahasa asing hanya untuk melanjutkan pelajaran di berbagai negara lain.
Semua negara yang mengekalkan bahasa penjajahnya, bermula daripada pemimpin sehinggalah peminta sedekah di jalanan bercakap bahasa Inggeris, negaranya terus mundur terkebelakang menjadi pengekor, dan bangsanya kehilangan jati diri.”
Adalah menjadi satu kebanggaan apabila ketua sesebuah negara berucap di persidangan PBB dalam bahasa ibunda sendiri. Juga menjadi satu kemuliaan apabila seseorang sarjana mampu berkongsi ilmu yang dipelajari di bumi asing dengan anak watan sendiri.
Pendidikan Holistik
Tanpa menolak pentingnya peperiksaan, kini adalah masa yang sesuai untuk semua kembali menilai keupayaan sistem pendidikan Malaysia, mengambil posisi korektif dan pembaikan sistem sedia ada, bagi menyesuaikan dengan kehendak dan cabaran semasa.
Model pemikiran yang mendasari zaman ini adalah ketinggian kreativiti dan inovasi. Pembudayaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlu beralih daripada orientasi 'meminta dan menunggu' kepada orientasi 'berdikari dan pemberdayaan potensi'.
Proses reformasi ini merupakan satu evolusi yang memerlukan penglibatan semua pihak, bukan hanya kebijaksaan menteri dan penggubal polisi.
Guru yang berada di barisan hadapan perlu diberi pengiktirafan tinggi dalam agenda memperbaiki sistem pendidikan negara, bukan lagi sebagai bahan ujikaji dasar yang berubah setiap masa.
Rukun Negara perlu menjadi ruh yang membina generasi berjaya. Nilai agama dan institusi keluarga perlu diperkukuh agar generasi berjaya ini terdidik dan menjadi insan sempurna.
Sifat pendidikan adalah menyeluruh, kerana itulah sifat manusia.
Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan