HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Mac 2016

‘Kakitangan, vendor Proton dipaksa pilih - Dr M atau PM?’

MALAYSIAKINI




Tatkala Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertarung, terdapat kebimbangan bahawa yang bakal menjadi mangsa pergelutan dua gergasi itu adalah pengeluar kereta nasional Proton.

Menurut akhbar Straits Times, Singapura - Proton yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri itu dan masih berkhidmat sebagai pengerusinya - ibarat telur di hujung tanduk.

Syarikat itu kini sarat hutang, jualannya pula merudum dan berdepan dengan masalah ketidakupayaan untuk membayar pembekalnya.

Proton berharap untuk mendapatkan geran segera RM1.47 bilion daripada kerajaan untuk kekal beroperasi.

Walau bagaimanapun, Straits Times mendakwa persengketaan antara Mahathir dan Najib bakal menjejaskan permohonan itu.

Kakitangan Proton, menurut akhbar itu berhadapan dengan risiko pengangguran manakala pembekal yang tidak dibayar bimbang akan menjadi kambing hitam dalam pertembungan kedua-dua pemimpin ini.

"Mereka (pekerja) dan vendor sedang diminta untuk memilih antara Mahathir dan kerajaan (Najib)," kata akhbar itu yang memetik seorang eksekutif kanan Proton yang tidak mahu namanya disiarkan.

Eksekutif itu berkata walaupun ramai yang menghormati Mahathir, namun tidak kurang juga yang berpendapat bahawa beliau kini adalah liabiliti.

Proton enggan memberi ulasan rasmi berhubung artikel ini.

Proton mempunyai 10,000 pekerja, manakala terdapat kira-kira 30,000 lain yang berkaitan dengan bahagian pembekalan dan perkhidmatan berkaitan.

Tiada ulasan: