Oleh Edry Faizal Eddy Yusof
Tengah hari tadi, kumpulan yang
menggelarkan diri mereka Gerakan Baju Merah 1Malaysia yang diketuai Ali
Tinju telah datang ke Ibupejabat DAP untuk menyerahkan satu memorandum.
Saya telah diamanahkan menerima memorandum itu mewakili Ibupejabat DAP
dan parti.
Melihat pertemuan ini merupakan
peluang untuk mengajak pihak Gerakan Baju Merah agar melakukan sesuatu
yang manfaatnya jauh lebih besar demi kebaikan rakyat kebanyakan, saya
membawa bersama saya satu memorandum untuk diserahkan kepada Gerakan
Baju Merah melalui Ali Tinju.
Memorandum saya itu bertujuan
mengajak Gerakan Baju Merah untuk melihat permasalahan negara ini dari
sudut pandang yang lebih luas. Selain memahami bahaya yang sedang
mengancam negara ini. Di bawah adalah kandungan memorandum saya itu:
31 Mac 2016
Memorandum Kepada Gerakan Merah Untuk Bersama-Sama Selamatkan Malaysia
Keadaan politik, ekonomi dan
masyarakat Malaysia sedang tenat. Hal ini bukan sahaja difahami dan
dirasai oleh watak-watak utama politik, tetapi turut menghantui
kebanyakan rakyat negara tercinta ini. Keluh resah rakyat boleh didengar
dari segenap peringkat. Malah melangkui sempadan usia, kaum,
kepercayaan, tempat, parti dan kecenderungan politik.
Tanpa sedikit pun berganjak
dari kepercayaan bahawa sistem politik sekarang yang merosakkan perlu
melalui reformasi menyeluruh, kita tidak boleh menutup mata daripada
hakikat bahawa sistem politik itu ada penggeraknya. Penggerak yang akan
terus mempergunakan sistem politik sedia ada dengan lebih dahsyat dan
melampau serta menjadi penghalang paling besar kepada usaha-usaha
memperbaiki keadaan Malaysia. Selagi tidak dialihkan penghalang paling
besar itu, sebarang usaha adalah ibarat membandarkan air ke bukit,
sia-sia tiada berguna.
Penggerak yang dimaksudkan tidak lain adalah Perdana Menteri Malaysia pada ketika ini, Najib Razak dan konco-konconya.
Najib Razak bertanggungjawab
ke atas skandal 1MDB yang menjejaskan imej negara, pengurusan ekonomi
yang buruk, sekatan demi sekatan terhadap suara yang membantah, cubaan
memusatkan kuasa kepada dirinya melalui penggubalan Akta Keselamatan dan
kelibat salahguna kuasa demi menyelamatkan kedudukannya.
Malaysia sedang menyusuri
jalan menuju ke arah negara gagal (failed state). Oleh itu, sepatutnya
setiap rakyat tidak kira parti, kaum, kepercayaan, tempat asal dan
kecenderungan politik merapatkan barisan perjuangan atas dasar
kebersamaan, untuk menyelamatkan Malaysia.
Sekiranya terdapat ancaman
luar yang mahu memusnahkan negara ini, tentu semua pihak akan berganding
bahu menghadapinya. Maka adalah patut untuk kita turut berganding bahu
menyelamatkan Malaysia dari ancaman dalaman yang bakal memusnahkan
negara ini.
Oleh itu saya menuntut kepada Gerakan Merah untuk:
1. Bersama-sama
menyertai GERAKAN SELAMATKAN MALAYSIA sebagai usaha menyelamatkan
Malaysia daripada keadaan yang semakin membimbangkan, berpunca dari apa
yang telah disebutkan di atas.
2. Bersama-sama menandatangani DEKLARASI RAKYAT sebagai tanda solidariti.
EDRY FAIZAL EDDY YUSOF
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Ketua Sosialis Muda (DAPSY) Subang
Pengerusi DAP Bandar Utama
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Ketua Sosialis Muda (DAPSY) Subang
Pengerusi DAP Bandar Utama
Malangnya Gerakan Baju Merah
bukan saja tidak membaca memorandum yang diserahkan kepada mereka, malah
terus memijak memorandum tersebut dengan marahnya. Malah tindakan
provokasi mereka sudah bermula apabila menolak untuk menyerahkan
memorandum mereka kepada saya hanya kerana saya berketurunan Melayu.
Apakah yang sedang bermain di dalam otak mereka? Sekadar mahu cetus
provokasi kaum?
Dalam mereka melaungkan seruan
dengan sentimen Melayu seolah-olah mereka sedang perjuangkan nasib orang
Melayu, mereka gagal melihat gambaran lebih besar, bahawa sekiranya
negara ini menjunam menuju negara gagal (failed state), tiada sesiapa
terkecuali. Tidak ada kaum tertentu yang boleh terselamat dari menjadi
mangsa baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau Malanau.
Adakah Gerakan Baju Merah sememangnya tidak berminat dengan hal penting sebegini?
Atau sebenarnya mereka bersama
pihak yang sedang merosakkan negara dan apa mereka lakukan hari ini
hanya cubaan mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada menyedari
bahaya-bahaya yang mendatang? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan