HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Najib mohon mahkamah batal afidavit Mahathir

 
Afidavit itu bagi menyokong membatalkan saman Najib Razak terhadap Ling Liong Sik yang didakwa memfitnah Perdana Menteri.


najib,mahathir,ling


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan untuk membatalkan afidavit Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes saman fitnah Najib terhadap Tun Dr Ling Liong Sik.

Afidavit Dr Mahathir itu bagi menyokong permohonan Liong Sik untuk membatalkan saman Najib terhadap beliau (Liong Sik)

Peguam Najib, Emelia Iszeham berkata, permohonan pembatalan afidavit tersebut kerana Najib berkeras artikel yang dimasukkan ke dalam afidavit tersebut gagal menyatakan sumber maklumatnya.

“Dalam artikel itu, Dr Mahathir tidak mendedahkan sumber yang dipercayainya sebagai benar,” katanya.

Dalam afidavitnya, Dr Mahathir mempersoalkan mengapa beliau tidak disaman kerana mengkritik Najib, sedangkan Liong Sik berhadapan dengan saman kerana membuat tindakan yang sama.

Emelia juga berkata, Najib dan Liong Sik gagal mencapai persetujuan ketika proses mediasi yang dicadangkan Hakim John Louis O’hara.

“Dia (Liong Sik) mahu Perdana Menteri untuk hadir namun kami merasakan ia tidak perlu,” katanya.
Pada 27 Oktober 2015, Najib memfailkan saman fitnah terhadap Liong Sik dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Liong Sik daripada terus berucap atau mengeluarkan kenyataan yang mengandungi kata-kata fitnah yang sama terhadapnya.

Pada 14 Disember 2015, bekas Presiden MCA dan bekas Menteri Pengangkutan itu memfailkan saman balas terhadap Najib, dengan asas saman Najib tersebut ‘penyalahgunaan kuasa mahkamah’.

Tiada ulasan: