HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Tanah PPR Taman Manggis: Antara BN dan DAP siapa main wayang?

 MALAYSIA DATELINE


Guan Eng dan anggota exconya menunjukkan dokumen mesyuarat kerajaan BN negeri yang mendedahkan misteri pembangunan tanah PPR di Taman Manggis.Guan Eng dan anggota exconya menunjukkan dokumen mesyuarat kerajaan BN negeri yang mendedahkan misteri pembangunan tanah PPR di Taman Manggis.


Isu tanah Taman Manggis dan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang yang pada asalnya diperuntukkan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) begitu mendapat tempat dalam laporan media arus perdana.

Serangan demi serangan yang ditujukan kepada kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng memperlihatkan keprihatinan BN negeri itu terhadap masalah perumahan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

Apatah lagi isu penyelewengan tanah PPR itu didakwa mempunyai kaitan dengan isu pembelian banglo ketua menteri yang dibuktikan kurang daripada harga pasaran.

Hari ini Bernama melaporkan desakan dibuat Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang Jason Loo kepada kerajaan negeri pimpinan DAP agar mendedahkan dokumen tender terbuka bagi tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin dekat Georgetown agar rakyat dapat menilai sama ada penjualan tanah itu dilakukan secara telus atau sebaliknya.

Menurut Jason, beliau telah memohon membeli dokumen tender terbuka bagi tanah Taman Manggis dengan membayar RM150 di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) Isnin lepas, tetapi perlu menunggu selama 14 hari dan bagi beliau ia adalah satu tempoh yang lama.

"Saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai untuk kerajaan Pulau Pinang mendedahkan dokumen tender itu bagi menjawab segala persoalan yang timbul terutama adakah penjualan tanah berkenaan mempunyai kaitan dengan isu banglo yang dibeli Ketua Menteri Lim Guan Eng yang heboh sekarang ini.

"Selain itu, kami semua juga ingin tahu selain Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC), berapa banyak dan syarikat mana yang turut menghantar tender untuk membeli tanah itu," katanya pada sidang akhbar di Georgetown hari ini.
Isu tanah Taman Manggis timbul apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membawanya kepada pengetahuan Dewan Rakyat dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya diperuntukkan bagi Projek Perumahan Rakyat.
Bagaimanapun kerajaan negeri Pulau Pinang tidak berdiam diri dengan gelombang kritikan yang dihamburkan para pemimpin BN.

Pada 30 Mac lalu, satu sidang akhbar diadakan bagi mendedahkan dokumen rasmi tahun 2005 yang membuktikan kerajaan Barisan Nasional sebenarnya telah menolak cadangan tanah Taman Manggis untuk dijadikan kawasan PPR.

Malah pemimpin BN negeri dianggap cuba 'baling batu sembunyi tangan' dengan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan negeri melalui pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas.

Bercakap dalam sidang media yang turut dihadiri Guan Eng, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, berkata pada 2005 kerajaan BN negeri telah mengubah cadangan pembinaan PPR yang dibuat dua tahun sebelumnya (2003) kepada cadangan projek pembangunan bercampur melibatkan rumah kedai.

"Saya merujuk kepada cabutan minit butir-butir mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ke-34 tahun 2005 bertarikh 28 September 2005 bertajuk ‘Cadangan Pembangunan Baki Tapak Tanah Kerajaan Negeri Persimpangan Jalan Burma Jalan Zainal Abidin’.
"Apa yang disebut dalam minit mesyuarat itu ialah; YB Teng Chang Yeow memaklumkan Majlis bahawa sebuah perumahan kos rendah telah dimajukan di atas sebahagian tapak tanah yang berkenaan, dan adalah dicadangkan supaya baki tapak tanah yang berada di Jalan Burmah (di Taman Manggis) dibangunkan dengan projek campuran dengan rumah kedai dan kuarters kerajaan di belakang,” jelas Jagdeep.
Pada masa itu, Teng Chang Yeow ialah Adun BN merangkap Exco Kerajaan Negeri. Kini beliau ialah Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang.

Menurut Jagdeep, dokumen mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu terpaksa didedahkan kerana pimpinan BNnegeri cuba mengaitkan pembelian rumah Guan Eng dengan status tanah Taman Manggis, dengan niat BN menimbulkan tohmahan unsur rasuah.

Jagdeep yang juga Adun Datok Keramat menjelaskan, dokumen rasmi mesyuarat itu turut mendedahkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon pada masa itu berpandangan bahawa tapak tanah Taman Manggis boleh ditawarkan tender kepada pemaju swasta supaya kerajaan negeri tidak perlu menanggung kos yang tinggi.

"Cabutan minit mesyuarat yang diklasifikasikan semula ini secara jelas menunjukkan cadangan dalam memo tahun 2003 telah diganti (dengan) satu cadangan baru pada 2005.

"Ia menunjukkan (secara) jelas bahawa cadangan asal untuk membangunkan PPR telah digantikan oleh kerajaan (BN) terdahulu dengan cadangan pembangunan bercampur iaitu rumah kedai pejabat dan kuarters kerajaan di atas tanah tersebut," katanya.

Sehingga kini belum ada sebarang penjelasan dibuat BN negeri berhubung isu tersebut.

Ramai mengharapkan agar isu tanah Taman Manggis ini terus diperjuangkan BN negeri dan suara-suara mereka tidak hilang begitu sahaja umpama "itik kekenyangan dedak".

Tiada ulasan: