HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2016

Taman Manggis: Tiada sekatan, sekadar nasihat – DAP

 
Anthony Loke berkata empat pemimpin DAP telah dilantik sebagai jurucakap untuk kes banglo Lim Guan Eng 


anthony-loke_lim-guan-eng_sprm_600


KUALA LUMPUR: Tiada sekatan, cuma nasihat kepada semua wakil-wakil rakyat DAP supaya tidak mengulas kontroversi banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana jurucakap telah dilantik.

Perkembangan ini disahkan oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang menafikan dakwaan media bahawa arahan bungkam mulut telah dikenakan keatas semua pimpinan parti.

Anthony berkata empat jurucakap telah dilantik iaitu Guan Eng sendiri; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; EXCO Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo dan penasihat undang-undang parti, Gobind Singh Deo.

Mereka dipilih kerana hanya mereka yang mengetahui fakta penuh kes itu, jelasnya.

“Ia hanya nasihat tetapi sekiranya mereka (wakil rakyat DAP) mahu bercakap mengenainya, tiada siapa akan menghalang mereka,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Ia bukan arahan bungkam. The Star telah menyiarkan laporan yang tidak tepat, sekali lagi.”

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengesahkan penjelasan itu dan berkata tidak masuk akal sekiranya arahan bungkam dikenakan kerana mereka masih perlu menjelaskan kontroversi itu kepada pengundi di kawasan masing-masing.

“Saya akan pulang ke Klang Khamis ini dan orang-ramai pasti mahu dengar penjelasan saya mengenai skandal itu.

“Skandal seperti ini bukan sesuatu yang boleh disekat kerana kita perlu turun bertemu rakyat dan menjelaskan perkara sebenarnya.”

Meskipun tiada ahli Parlimen DAP menjelaskan alasan disebalik nasihat itu, ia menyusuli kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mengatakan banglo dijual kepada Lim Guan Eng pada harga bawah nilai pasaran kerana “feng shui tidak elok”.

Guan Eng menjadi perhatian skandal itu selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya melahirkan rasa khuatir samada pembelian banglo pada tahun lepas itu ada kaitan dengan penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis pada 2012.

Banglo itu, yang dinilaikan antara RM6 juta sehingga RM6.5 juta, dijual kepada Guan Eng pada harga RM2.8 juta.

Menyusuli dakwaan itu, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan keatas kes ini. Guan Eng menafikan sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa dalam pembeliannya.

Tiada ulasan: