shahbudindotcom
Berikutan
tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani deklarasi menyokong
kepimpinan Najib Razak baru-baru ini menjadi perbualan ramai dan tanda
tanya masyarakat sehingga Tun Mahathir Mohamad turut memberikan
reaksinya, malah blog ini juga ada membuat ulasan mengenainya, maka di
bawah ini disiarkan sepenuhnya penjelasan Ahli Parlimen Gua Musang itu
yang dihantar melalui email kepada saya.
MENCETUS PERUBAHAN
Negara
kita kini sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan
kepimpinan. Ini menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang dahsyat
terutamanya berkaitan isu hutang negara. Ia mengakibatkan beberapa
masalah ekonomi serius seperti kenaikan mendadak kos sara hidup yang
membawa kesan buruk kepada rakyat. Selama ini saya sering berpendapat
dan mengingatkan sekiranya kita tidak tukar cara berpolitik dan perisian
dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis seperti yang berlaku
sekarang ini. Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam
beberapa ucapan saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa
kita pasti tidak dapat mengelak perubahan. Tanpa perubahan dalam
tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan
tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang
dihadapi itu.
2.
Saya yakin tiada siapa yang dapat menuduh saya tidak konsisten
berkenaan pendirian saya terhadap tatacara pemerintahan negara,
tanggungjawab awam dan perlunya perubahan. Inilah intipati perjuangan
saya di peringkat kebangsaan serta dalam UMNO sejak tahun 1987. Saya
konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus konsisten di
hari muka. Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang.
Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa
mencari jalan munasabah dan sah dari sisi undang-undang untuk maksud
ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan
Rakyat.
3.
Bagi maksud ini dan sebagai pengamal politik, saya bertindak
berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti. Yang demikian
isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan
kepada ketua kerajaan tidak timbul.
4.
Dalam usaha untuk memberi sumbangan berguna dan berfaedah, saya amat
peka dan sedar akan masalah yang dihadapi oleh negara dan keadaan kita
yang genting; umpaamnya masalah berkaitan dengan hutang negara serta
akibatnya, terutamanya kesan terhadap kehidupan seharian rakyat jelata.
Dalam ucapan saya di Parlimen dan surat kepada Ahli-Ahli Parlimen, saya
telah mengingatkan akan kesan yang kita rasai sekiranya hutang negara
ini tidak ditangani dan diurus dengan penuh tanggungjawab. Maka itu
setiap pengamal politik dan Ahli Parlimen berkewajipan untuk tidak
mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha
menangani perubahan yang diperlukan itu.
5.
Izinkan saya mengulangi bahawa masalah yang kita hadapi ini
meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi kita dan kedudukan
antarabangsa negara. Oleh itu kita hendaklah bijak menyelesainya dalam
masa terdekat.
Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Kuala Lumpur,
28 Mac 2016 bersamaan
19 Jamadil Akhir 1437H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan