HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mac 2016

RM60b aset beku tak boleh dilabur

Wang
Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Aset RM60 bilion yang dibekukan dan tidak dituntut sejak kemerdekaan negara tidak boleh ‘dicairkan’ atau dilaburkan tanpa kebenaran pewaris.

Pensyarah Institut Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Dr Azman  Mohd Nor berkata, aset terbabit tetap mempunyai pewaris, namun belum dipindah milik secara sah.

“Ia agak sukar kerana perlu mendapat kebenaran pewaris. Harta beku ini ada pemilik dan pemunya, cuma belum dipindah milik secara sah.

“Maknanya masih ada lagi tuntutan hak ke atas pemilikan dan apabila ia sudah dijamin oleh ALLAH SWT, anak yang dikandung hatta orang yang tidak waras juga berhak untuk mewarisi harta pusaka.
“Justeru, adalah suatu kezaliman sekiranya kerajaan mencairkan harta terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan yang dikemukakan peserta sama ada kerajaan boleh bertindak untuk mencairkan aset beku dan tidak dituntut, pada Seminar Faraid dan Perancangan Pewarisan: Isu Harta Beku dan Penyelesaiannya di Malaysia yang berlangsung di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), semalam.

Sehubungan itu, dalam konteks ini, Azman mencadangkan agar mekanisme penyelesaian proses pemilikan yang mengambil masa, perlu dikaji semula.

“Ini perlu dibuat kajian mengenai prosedur dan proses di mahkamah yang memakan masa.

“Dalam perkara ini yang perlu dibincang adalah mempercepatkan proses supaya dapat dilakukan dengan kos lebih efektif dan tidak memakan masa lama,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah berkata, proses pemilikan mengambil masa lama kerana  pewaris tidak mengemukakan dokumen lengkap.

“Harta yang tidak dituntut ini milik seseorang. Pihak berwajib yang memegang harta ini.

“Namun disebabkan ada dokumen yang tidak cukup, ini yang menyebabkan proses mengambil masa begitu lama. Ada waris yang mengambil masa sehingga lima tahun yang akhirnya berputus asa,” katanya.

Beliau secara peribadi berkata, dalam soal ini aset yang dibekukan dan tidak dituntut itu boleh dicairkan serta dilaburkan.

“Bila aset ini dilaburkan harta tersebut akan mendapat keuntungan dan pewaris berhak mendapat keuntungan (profit).

“Tetapi ini isu besar yang perlu pandangan kolektif oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Ada dalil dan hujah yang perlu dibincangkan bersama dengan mereka yang pakar,” katanya.


Tiada ulasan: