HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Mac 2016

Indeks Syariah Malaysia 2015 di tahap 75 peratus

Shakira Buang  


Mata keseluruhan Indeks Syariah Malaysia, bagi mengukur keseriusan kerajaan mencapai lima aspek maqasid (objektif) syariah, bagi tahun lepas mencatat angka 75.42 peratus.

Angka itu dicatat hasil penyelidikan komprehensif dan saintifik selama enam bulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, hasil kajian itu mendorong kerajaan melipatgandakan usaha menyejahterakan kehidupan rakyat dan menambah baik kekurangan sedia ada.

Najib pada Februari 2015 melancarkan indeks itu yang membuat ukuran dalam lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.

Indeks itu bertujuan menilai keseriusan kerajaan menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan serta mengenal pasti ruang pembaikan untuk menerima lebih manfaat hasil penerapan nilai sejagat dalam Islam.




Sementara itu, bagi memastikan indeks itu lebih berkesan, satu jawatankuasa khas kabinet berkaitan perkara itu akan ditubuhkan.

"Saya sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu, manakala Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa akan memimpin urus selia jawatankuasa itu," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umara (pemimpin) 2016 dan pembentangan laporan indeks itu di Putrajaya hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.


Tiada ulasan: