ARIF ATAN
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mempertikai kedegilan kerajaan
untuk terus mengajar mata pelajaran sains, matematik dan teknologi dalam
bahasa Inggeris melalui Program Dwi-Bahasa (DLP).
Setiausaha Agungnya, Faisal Abdul Aziz berkata, program mirip dasar
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris
(PPSMI) itu terbukti gagal mencapai matlamat penguasaan dalam bahasa
tersebut bahkan menjejaskan pemahaman pelajar dalam subjek-subjek
terlibat.
"Abim juga ingin melahirkan kehairanan mengapa kerajaan memberi
pilihan kepada pelajar untuk memilih sesuatu dasar yang sudah terbukti
gagal?
"Rujukan kami adalah kajian terhadap dasar PPSMI yang dibuat oleh
Jemaah Nazir Persekutuan KPM sendiri menerusi sampel ke atas 1942 murid
tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 sekolah yang menunjukkan pencapaian
mereka semakin merosot malah ada yang dengan drastik merudum apabila
mereka naik ke tahun yang lebih tinggi," jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional
(Pembina) meliputi 90 sekolah rendah mendapati mata pelajaran Sains
menyumbang peningkatan penguasaan bahasa Inggeris hanya 0.7 peratus
manakala Matematik tiada langsung sumbangan untuk tujuan tersebut.
Ujarnya, kajian yang sama ke atas 70 sekolah menengah aliran sastera
dan sains pula menunjukkan subjek sains dan matematik juga menyumbang
kurang 1 peratus penguasaan bahasa Inggeris.
"Sekolah menengah (aliran sastera) bagi subjek Matematik hanya 1.0%,
dan subjek Sains hanya 0.6%. Bagi sekolah menengah (Sains) Kimia 2 hanya
0.6% dan Matematik Tambahan 0.3%," jelasnya memetik kajian yang
keseluruhannya merangkumi 15,089 pelajar di bandar, luar bandar, sekolah
pedalaman, dan pulau itu.
Selain itu, ujarnya, hasil ujian antarabangsa iaitu TIMMS 2007 dan
PISA 2012 ketika pelaksanaan PPSMI menunjukan kedudukan Malaysia
menjunam kepada kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMMS 1999
& 2003, Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.
Mengulas dakwaan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan kononnya
DLP adalah program pilihan dan baik untuk diteruskan, beliau berkata,
keputusan tersebut seolah-olah menunjukkan kerajaan sengaja mewujudkan
perlumbaan antara bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.
"Walhal, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara, memartabat
dan memperkasa bahasa kebangsaan serta mencorak identiti pelajar sekolah
kebangsaan berdasarkan asas pendidikan kebangsaan seperti termaktub
dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan,"
ujarnya.
Sehubungan itu, Abim menyifatkan kerajaan melakukan satu kesilapan
besar apabila membuka pilihan untuk diajar subjek seperti sains,
matematik dan teknologi di Sekolah Kebangsaan dalam bahasa Inggeris
menerusi DLP.
Dalam hal berkaitan, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada
semua pihak yang terdiri daripada ahli akademik, NGO, parti politik,
aktivis masyarakat, sasterawan, penuntut, seniman dan budayawan yang
menyertai perarakan mengusung Keranda 152 kali ketiga dalam sejarah
negara pada 26 Mac, Sabtu lalu.
"Himpunan tersebut sebagai manifestasi kepada kekecewaan terhadap
tindakan kerajaan yang memungkiri janji untuk memartabat Bahasa
Kebangsaan dan memansuhkan dasar atau program mirip PPSMI," tambahnya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan