HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2016

Tawaran Dr M untuk bantu Sirul dapat suaka disiasat

Zikri Kamarulzaman

 


Pihak polis sedang menyiasat tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkan bantuan kepada bekas komando polis Sirul Azhar Umar untuk mendapatkan suaka di Australia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata, siasatan akan dibuat bagi memastikan terdapat sebarang kesalahan dilakukan.

Jika ada, pendakwaan terhadapnya akan dibuat, kata anggota parlimen Pulai itu kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Mahathir, perdana menteri keempat, semalam mengakui pernah menawarkan bantuan kepada Sirul, yang disabit bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, untuk mendapatkan suaka di Australia.

Pada Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menarik balik keputusan membebaskan Sirul dan seorang lagi rakan sejawtnya, Azilah Hadri dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas mereka.

Sirul bagaimanapun melarikan diri ke Australia sebelum keputusan itu diputuskan. Undang-undang Australia menetapkan seseorang yang menghadapi hukuman mati di negara asalnya tidak akan dihantar pulang.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini melalui telefon pada Februari tahun lalu, Sirul mendakwa bahawa dia bertindak atas arahan dan dijadikan kambing hitam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak dakwaan Sirul itu dan menganggapnya sebagai "mengarut".


Tiada ulasan: