KUALA LUMPUR: DAP diminta berhenti bersikap 'hipokrit' susulan tindakan
parti itu yang mengarahkan wakil rakyatnya 'tutup mulut' dan hanya
membenarkan beberapa jurucakap sahaja memberi kenyataan bersabit isu
pembelian sebuah rumah banglo milik Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn dan
tanah di Taman Manggis.
Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebaliknya
berkata, tindakan tersebut mencerminkan parti dominasi Cina itu tidak
dapat membezakan antara isu parti dengan isu peribadi bersabit
kontroversi yang sedang membelit Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Justeru, kata Noh, adalah lebih baik DAP meneliti semula isu berkenaan
dan meminta supaya pimpinan parti itu tidak mencampuri urusan Guan Eng.
"Hipokrit la (DAP), sama ada ini isu DAP atau isu peribadi? Kalau isu peribadi mengapa orang lain hendak tolong jawabkan.
"Ini isu peribadi ke isu parti, kalau ada isu peribadi, kalau DAP
tengok ini isu parti, mungkin parti bolehlah keluarkan arahan adakah
sebelum Guan Eng beli rumah tersebut dia ada bawa dalam mesyuarat DAP?
"DAP perlu tahu beza sama ada ini masalah parti atau pun masalah
peribadi? Jadi kalau dia masalah peribadi, bagi saya biarlah Lim Guan
Eng seorang sahaja yang jawab, kenapa orang lain mesti campur tangan?
Jadi nampaknya DAP pun tidak boleh hendak bezakan di antara isu peribadi
dan isu parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar
Parlimen tadi.
Beliau mengulas mengenai pekeliling yang diedarkan oleh pegawai DAP
Pulau Pinang yang meminta pemimpin parti untuk tidak mengadakan sebarang
sidang media atau mengeluarkan kenyataan berhubung dua isu berkenaan.
Menurut pekeliling itu, hanya tiga pemimpin dibenarkan untuk
mengeluarkan kenyataan iaitu Guan Eng sendiri, Pengerusi DAP Pulau
Pinang, Chow Kon Yeow dan penasihat undang-undang parti yang juga Ahli
Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Pekeliling itu juga menyatakan, arahan berkenaan bertujuan untuk
mengelakkan lagi kekeliruan keadaan dan bagi menentukan pemimpin
mengulas mengenai apa yang patut dan tidak sepatutnya diperkatakan.
Menurut pekeliling itu lagi, ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang
'pendedahan maklumat sensitif yang tidak disengajakan' memandangkan
isu-isu berkenaan adalah serius.
Pekeliling itu dikeluarkan kepada ahli-ahli Parlimen parti, ADUN, ahli
jawatankuasa negeri termasuk pemimpin Wanita dan Pemuda Sosialis DAP
(Dapsy).
Susulan arahan DAP itu, Noh mempersoalkan tujuan parti itu mengeluarkan pekeliling sedemikian.
"Yang kedua kalau ini dianggap sebagai isu parti, sebab apa ada
larangan? Adakah di dalam DAP ini dia ada puak-puak? Ada puak yang pro
Lim Guan Eng, ada puak memang suka tengok benda ini berlaku, maka sebab
itu dihalang daripada mereka membuat apa-apa kenyataan.
"Jadi kalau itu berlaku, di mana kebebasan bersuara yang DAP duduk
laung-laungkan selama ini? Bila terkena batang hidung dia, kita semua
tidak boleh bercakap," katanya.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bagaimanapun menafikan
pekeliling itu menyebut arahan 'tutup mulut' dalam emel yang dihantar
kepada ahli parti itu.
Anthony menegaskan parti tidak pernah mengeluarkan arahan tutup mulut
sebaliknya mendakwa ia sekadar nasihat daripada kepimpinan Pulau Pinang,
dengan menyatakan bahawa beberapa jurucakap dilantik untuk mengeluarkan
kenyataan mengenai perkara itu.
Jelasnya lagi, nasihat itu hanya untuk wakil Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan