HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Lagi bangkai penyu agar ditemui

Lagi bangkai penyu agar ditemui
Wakil dari Pejabat Perikanan Rompin sedang memeriksa bangkai penyu agar.
 
 
ROMPIN - Lagi bangkai seekor penyu spesies agar ditemui di pantai Mempisang, di sini, hari ini oleh penduduk yang bersiar-siar di pantai itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussain, berkata, saiz bangkai penyu yang ditemui itu lebih kurang sama dengan yang ditemui pada Selasa lalu.

Menurutnya, jarak bangkai penyu yang baru ditemui itu tidak jauh dari lokasi penemuan bangkai penyu sebelumnya di pantai Sungai Lumpur dengan jarak kira-kira 2km sahaja.

"Hasil siasatan ia juga merupakan penyu spesies agar dengan panjang 1.10 meter, lebar 0.55 meter dan berat 30kg manakala berusia sekitar 25 tahun.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas fizikal bangkai haiwan berkenaan tidak menemui sebarang kesan kecederaan," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penyu usia 30 tahun dipercayai mati terkena kipas bot]

Akhbar ini Rabu lalu melaporkan bangkai seekor penyu tidak sengaja ditemui beberapa penduduk di pantai Sungai Lumpur, di sini, ketika mereka bersiar-siar untuk melihat aktiviti memukat udang di pantai itu.

Penyu berkenaan merupakan spesies agar dianggarkan berusia 30 tahun dengan berat kira-kira 50kg, ukuran panjang 1.2 meter dan lebar 0.7 meter serta dipercayai mati akibat terkena kipas bot sebelum dihanyutkan ombak ke pantai.

Menurut Adnan, berdasarkan bangkai yang mulai reput, ia dianggarkan telah mati seminggu lalu namun organ dalaman masih elok.

"Bangkai penyu berkenaan telah ditanam oleh pegawai Pejabat Perikanan Rompin berhampiran kawasan ia ditemui," katanya.


Tiada ulasan: