HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mac 2016

Dokumentari ABC terhadap PM bersifat dendam

SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar


JOHOR BAHRU - Dokumentari terbitan Australian Broadcasting Corporation (ABC) menerusi program Four Corners terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan  bermotif dendam susulan penahan dua wartawan mereka ketika berada di Malaysia sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Khalid Abu Bakar berkata, program terbitan stesen televisyen antarabangsa berkenaan sengaja menerbitkan dokumentari bersifat kritikal untuk memburukkan pemimpin dan negara ini kepada masyarakat global.

"Four Corners ini dia berdendam sebab hari tu kita ambil tindakan ke atas mereka di Sarawak kerana melanggar benteng keselamatan, jadi dia nak kaitkan pula Perdana Menteri dengan pembunuhan Anthony Kevin Morais (Timbalan Pendakwa Raya) dan Hussain.

"Bukankah saya sudah jelaskan pembunuhan Hussain Ahmad Najadi (Pengasas Ambank) tiada kaitan dengan 1MDB begitu juga dengan kematian Kevin Morais, Peguam Negara telah sahkan tiada kaitan dengan 1MDB," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Agung Pusat Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Inspektor (PPKP/CI) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) Sesi 2015/2016 di Le Grandeur Resort di sini, pagi ini.

12 Mac lalu, wartawan dan jurukamera Four Corners ditahan selepas mengemukakan soalan kepada Najib mengenai dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi beliau dalam satu sidang media di Sarawak dan dibebaskan pada 14 Mac.

28 Mac, ABC menerbitkan sebuah dokumentari bertajuk 'State of Fear: Murder and Money in Malaysia' yang mengaitkan Najib dengan beberapa kes pembunuhan termasuk Hussain, Kevin Morais dan wanita Mongolia, Al-Tantuya Shariibu.

Tiada ulasan: