HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2016

Ku Li di belakang SD guling Najib, tegas DAP

Lu Wei Hoong

 


Whip Parlimen DAP Anthony Loke menegaskan bahawa pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah memang mengedarkan surat akuan bersumpah (SD) bagi menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun Tengku Razaleigh menafikannya, Loke berkata seorang wakil ahli parlimen Gua Musang itu memang mengedarkan SD berkenaan antara Julai dan September tahun lalu.

"Semua pemimpin pembangkang tahu hal ini dan ada juga yang telah pergi berjumpa dengannya. Jika sekarang beliau mahu menafikannya, tiada apa yang boleh kami lakukan. Itu urusannya.

“Tapi SD itu memang wujud. Terdapat usaha untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen mengenai perkara ini. Kem Tengku Razaleigh juga meminta kami (ahli parlimen DAP) untuk menandatanganinya," kata Ahli Parlimen Seremban itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa bahawa ada 'orang tua' yang berkomplot untuk menjatuhkan Najib melalui surat bersumpah daripada ahli parlimen, tetapi beliau kemudian telah bertaubat.

Pada masa itu, Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, tidak mengesahkan mahupun menafikan komplot itu tetapi berkata dirinya masih menyokong Najib.

Sementara itu, Loke berkata tidak seorang pun ahli parlimen DAP akan menandatangani SD itu, melainkan jika terdapat jumlah wakil rakyat yang mencukupi menyokongnya untuk mendapatkan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Ditanya sama ada Tengku Razaleigh berbohong, Loke sekadar berkata “saya tidak ingin kata bahawa beliau berbohong, hanya (kami) kecewa."

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendedahkan bahawa Tengku Razaleigh merancang mengemukakan usul tidak percaya untuk menggulingkan Najib.

Tiada ulasan: