MYSUARA.NET
KUALA LUMPUR: Senator Datuk Seri S Nallakaruppan
bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Dewan Negara itu berkata, langkah tersebut adalah bagi menuntut
ganti rugi terhadap segala kerugian yang dialaminya ketika dipenjara
pada tahun 1998.
Dakwanya, perbuatan Dr Mahathir telah menyebabkan beliau kehilangan
tiga jawatan pentingnya iaitu Pengarah Eksekutif Perhubungan Awam
Magnum, Pengarah Kamunting Corporation Bhd. dan Pengarah Malaysian
Plantations Bhd. setelah dipenjara.
“Saya mahu menuntut ganti rugi terhadap segala kehilangan yang saya
telah alami akibat perbuatan Tun M, termasuk dia memusnahkan periuk nasi
saya pada ketika itu.
“Tun M sepanjang pemerintahan selama 22 tahun, menyebabkan saya
merana, kini beliau mula berpakat dengan pembangkang untuk memusnahkan
negara.
“Saya harap bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terperangkap dalam lakonan Tun M itu,”
katanya yang dipetik dari laman portal Malaysiagazette dan diterjemahkan
dari akhbar Makkal Osai.
Dalam pada itu, beliau mendakwa Dr Mahathir kini terdesak mahu
memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri apabila
terus mengutuk kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.
“Oleh kerana Dr. Mahathir tidak sukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
beliau kawan baik Anwar pada ketika itu, saya telah ditangkap dan
dipenjarakan hanya untuk memusnahkan karier Anwar, bukannya atas tuduhan
memiliki peluru pistol tanpa permit.
“Selepas itu saya diputuskan tidak bersalah dan dibebaskan, namun apa
gunanya sedangkan segala jawatan dan mata pencarian saya musnah,”
ujarnya.
Beliau turut menyatakan sedang berbincang dengan barisan peguamnya
untuk mengambil tindakan saman terhadap Dr Mahathir dengan tidak
berganjak dengan pendiriannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan