HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Pelajar salah guna BB1M, jual pada pekedai tanpa beli buku

 
Buku tersebut kemudiannya dijual kepada kedai buku terpakai pada harga lebih murah, membolehkan pemilik kedai buku untung dua kali ganda.


BB1m


PETALING JAYA: Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) yang dikeluarkan kerajaan dikesan dijual pada harga RM190 hingga RM230 kepada pemilik kedai buku tanpa melibatkan urusan jual beli buku.

BB1M dikeluarkan kepada pelajar tingkatan enam dan penuntut universiti dengan nilai RM250.

Kedai buku tersebut pula dikatakan akan menuntut RM250 daripada kerajaan untuk buku yang kononnya dijual, lapor The Star Online.

Buku-buku tersebut kemudiannya dijual kepada kedai-kedai buku terpakai pada harga yang lebih murah sekali gus membolehkan pemilik kedai buku mendapat keuntungan dua kali ganda daripada buku-buku yang tidak mempunyai permintaan atau tidak dapat dijual.

Sindiket penipuan itu juga dilapor turut melibatkan ejen di mana pelajar-pelajar kolej mendapatkan pelajar-pelajar lain untuk melakukan perkara yang sama dan ejen akan mendapat potongan harga.

Ejen menyiarkan iklan di media sosial, menunjukkan kesediaan membeli baucer daripada pelajar dan mereka akan bertemu bagi mendapatkan baucer BB1M tersebut, seperti mana yang dirunding.

Menurut laporan itu lagi, penipuan yang terang-terangan menyalahi undang-undang dikesan berlaku di Kuala Lumpur, Perak dan Selangor, melibatkan pelajar-pelajar di universiti awam dan swasta.

Inisiatif BB1M yang dimulakan pada 2012 bertujuan membantu mengurangkan beban pelajar Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi.

Mengikut garis panduan Kementerian Pengajian Tinggi, baucar tidak boleh dipindah milik, tidak boleh ditukar kepada wang tunai atau dijual kepada pihak ketiga.

Tiada ulasan: