Langkah kerajaan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2003 melahirkan generasi pelajar yang ramai tidak menguasai bahasa dan ilmu dalam bidang berkaitan.
Ahli akademik, Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kebangsaan selama sembilan tahun itu mengakibatkan majoriti penuntut keliru kerana penguasaan ilmu sains dan bahasa adalah dua perkara yang jauh berbeza.
"Pengalaman saya di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (di Universiti Kebangsaan Malaysia) mendapati bukan sedikit pelajar kita mengalami krisis penguasaan ilmu.
"Mereka yang melalui PPSMI, ramai yang Sains tidak pandai, bahasa Inggeris pun ke laut - tak pandai. Mereka tak tahu konsep sains sama ada dalam bahasa Melayu apa lagi dalam bahasa Inggeris. Ini amat merugikan anak bangsa kita," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline sempena Himpunan Bantah Program Dwi Bahasa (DLP) di LRT Masjid Jamek, petang tadi.
Mengulas projek rintis DLP di 300 sekolah mulai tahun ini, beliau berkata, pemilihan sekolah terbabit dibimbangi mengandungi agenda tersembunyi.
"Kenapa saya berkata begitu? Sebabnya Pemandu yang pilih sekolah itu bukannya Kementerian Pendidikan. Ini menghairankan sebab kalau betul projek rintis pemilihan mesti secara rawak oleh kementerian sendiri bukan pihak lain," jelasnya.
Menurutnya, pemilihan tidak adil tanpa mengambil kira pelbagai faktor termasuk lokasi dan demografi penduduk bagi tujuan projek rintis DLP itu dilihat hanya untuk menghalalkan pelaksanaan program itu ke seluruh sekolah.
"Padahal keberkesanan pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris itu sendiri tidak pula pihak Pemandu ambil kira.
"Sibuk kacau yang lain dengan alasan mahu pelajar menguasai bahasa Inggeris. Ini pakai teori mana?" tegas bekas pensyarah selama 36 tahun ini.
Paling tidak dapat diterima, tambahnya, apabila DLP secara tidak langsung menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi hampir kesemua mata pelajaran di sekolah."DLP lagi teruk daripada PPSMI yang sudah diumumkan mansuh mulai tahun 2012 lalu.
Kalau PPSMI 'kacau' dua mata pelajaran saja (Sains dan Matematik), DLP bermula dengan empat subjek termasuk Rekabentuk dan Teknologi Maklumat.
"Akibatnya, di peringkat menengah nanti, hanya tinggal beberapa kerat saja subjek di sekolah diajar dalam bahasa Melayu.
"Inilah saya katakan agenda tersembunyi di sebalik DLP. Kalau benar bagus matlamatnya kenapa tak dilaksana di SKJC (Sekolah Kebangsaan Jenis Cina)," bidasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan