HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Kediaman polis dalam keadaan tidak kondusif?

 
Ini berikutan keadaan kediaman itu dilihat amat menyedihkan dengan kemudahan infrastruktur yang teruk. 


polis


PETALING JAYA: Satu laporan dalam akhbar tempatan mempersoal keadaan sesetengah Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar ibu kota yang digambarkan berada dalam keadaan uzur.

Memetik laporan Utusan Malaysia, berdasarkan tinjauan yang dibuat di dua lokasi berbeza perumahan PDRM iaitu Flat Sri Wilayah, Jalan Sentul Manis dan Menara Sri Kemboja, Setiawangsa, keadaannya kediaman mereka sangat menyedihkan dengan cat yang luntur dan jeriji besi balkoni berkarat.

Lebih teruk, kediaman pihak berkuasa yang terletak berhampiran dengan pusat bandar itu juga berhadapan pelbagai masalah infrastruktur, misalnya di Flat Sri Wilayah apabila satu lif sahaja berfungsi di setiap blok iaitu A dan B.

“Kerosakan lif sejak lapan bulan yang lepas sangat menyusahkan penduduk terutamanya golongan tua, kanak-kanak serta wanita hamil. Bagaimana sekiranya terdapat kecemasan?” petik laporan itu.

Ekoran hanya satu lif yang berfungsi, kerja-kerja mengangkut tong sampah juga terpaksa mengunakan lif yang sama dan situasi tersebut dikatakan pasti tidak menyenangkan penduduk di rumah pangsa 15 tingkat itu.

Ada pula aduan bahawa sesetengah palang di tangga patah dan tidak selamat, dikhuatiri akan mencederakan kira-kira 1,400 penduduk perumahan terbabit.

Penduduk juga mendakwa, saluran paip yang tersumbat menyebabkan air melimpah keluar hingga ke tangga dan juga koridor rumah ketika hujan lebat.

Bagaimanapun, laporan itu juga tidak menafikan bukan semua perumahan PDRM menghadapi masalah dengan mengambil contoh Kuarters Polis Sungai Besi yang boleh dijadikan contoh terbaik.

Bangunan yang tanpa cela itu pasti memberi keselesaan kepada penduduknya serta menunjukkan PDRM sentiasa mengutamakan institusi kekeluargaan.

Tiada ulasan: