HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mac 2016

Lima pemandu teksi ditahan kerana mogok

BERNAMA




Lima orang pemandu teksi yang turut membantah kewujudan perkhidmatan pemandu teksi Uber dan Grabcar di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur tengah hari tadi ditahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata mereka yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan kerana gagal bersurai apabila diarah berbuat demikian.

"Kami beri mereka 15 minit untuk bersurai namun mereka gagal mengikuti arahan tersebut," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kira-kira 60 pemandu teksi bergerak dari KLCC pada pukul 10 pagi ke Fahrenheit 88 di Jalan Bukit Bintang sebelum bergabung dengan 40 lagi pemandu teksi untuk melakukan tunjuk perasaan.

Pemandu teksi itu turut menghalang laluan empat lorong di sepanjang Jalan Bukit Bintang menyebabkan berlaku kesesakan teruk kira-kira dua jam, katanya.

"Sehubungan itu Jalan Bukit Bintang terpaksa ditutup untuk lalu lintas dan semua jalan masuk ke kawasan berkenaan dilencongkan oleh pasukan polis trafik Kuala Lumpur bagi mengelak kesesakan," katanya dan menambah Jalan Bukit Bintang kembali dibuka pada pukul 12.30 tengah hari.

Zainol berkata pada mulanya pihak polis cuba untuk berunding dengan mereka untuk tidak menganggu keamanan dan ketenteraman awam namun terdapat segelintir pemandu yang ingkar sehingga mereka ditahan.

Beliau berkata dua buah teksi turut disita dan kes penahanan itu disiasat kerana menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas.

Sementara itu mengenai perhimpunan Mansuh GST yang dirancang pada 2 April ini di Dataran Merdeka, beliau berkata pihaknya masih menunggu notis daripada pihak penganjur.

"Penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menganjurkan perhimpunan itu selain mematuhi arahan yang termaktub dalam Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.-Bernama


Tiada ulasan: