HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Isu teksi akan diselesai secara adil - PM

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
  
KUALA LUMPUR: Satu penyelesaian yang adil dan saksama akan diputuskan dalam masa terdekat berhubung isu teksi demi kepentingan pengguna dan penyedia perkhidmatan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.
 
Beliau berkata kepentingan kedua-dua pihak itu tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincang dan disediakan.
 
"Saya faham dan prihatin terhadap masalah dan rungutan dalam kalangan pemandu teksi disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan pemandu kereta Uber dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.
 
"Saya ada membaca laporan mengenai protes oleh pemandu teksi di Bukit Bintang baru-baru ini," katanya melalui blog NajibRazak.com hari ini.
 
Menurutnya masalah pemandu teksi itu bukan sahaja berlaku di Malaysia malah juga sedang diteliti di banyak negara lain.
 
"Dalam era serba canggih dan berinovasi ini, kita perlu bersedia untuk menerima dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi," katanya.
 
Menurut Najib, persaingan mesti juga dilihat sebagai batu loncatan dan bukan halangan agar perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat.
 
Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), katanya, kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan bagi menangani dua isu pokok iaitu pertamanya pendapatan dan kebajikan pemandu teksi dan keduanya isu kereta sewa seperti Uber dan Grabcar yang menggunakan aplikasi telefon pintar.
 
Dalam kejadian Selasa lalu kira-kira 300 pemandu teksi berkumpul di sekitar kawasan Bukit Bintang di sini dengan meletakkan teksi-teksi di jalan sehingga menghalang lalu lintas sebagai bantahan terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar.
 
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika ditemui pemberita pada hari itu berkata SPAD telah diminta untuk mempercepatkan proses pendaftaran pemandu yang terlibat dengan perkhidmatan Uber dan Grabcar itu bagi mengelak berlaku syak wasangka dalam kalangan pemandu teksi.
 
 

Tiada ulasan: