HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mac 2016

Hantaran hanya adat, boleh ubah jika tak realistik

Hantaran hanya adat, boleh ubah jika tak realistik
Wang hantaran. - Sumber foto internet
 
 
KUALA LUMPUR - "Masyarakat harus bersedia untuk mengubah adat dan tradisi jika perkara itu dilihat tidak realistik dalam kehidupan semasa," kata Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Mohd Zaidi Ismail.

Menurutnya, perkahwinan dalam Islam hanya melibatkan mahar atau mas kahwin sahaja dan tiada perkara menyebut tentang hantaran.

"Hantaran itu lebih kepada adat dan boleh diubah jika tidak lagi realistik dan menambah kesan buruk kepada suasana perkahwinan.

"Namun kita harus ketahui, dalam Islam adat mempunyai peranan tersendiri untuk menjadi peraturan kehidupan tetapi jika adat itu beku dan telah bersifat sebagai undang-undang, masyarakat harus bersedia untuk berubah," katanya ketika ditemui pemberita di Seminar Faraid dan Perancangan Pewarisan: Isu Harta Beku dan Penyelesaiannya di Malaysia yang berlangsung di Ikim, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejadian viral melibatkan dua buah keluarga yang bergaduh kononnya kerana hantaran terlalu tinggi ketika majlis akad nikah di sebuah masjid di Pantai Dalam.

Mohd Zaidi berkata, isu hantaran terlalu tinggi tidak akan wujud jika kedua-dua pihak telah mencapai kata putus sebelum majlis pernikahan berlangsung.

"Perkara berkaitan hantaran ini bersifat reda-meredai dan harus jelas serta dirunding sebelum majlis itu berlangsung," katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati masyarakat tidak bertindak keterlaluan dengan mengadili perkara itu memandang isu tersebut adalah masalah antara keluarga yang terlibat.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi dan apa pengakhirannya kerana perkara yang terjadi itu adalah perkara dalaman keluarga dan terbatas agar tidak mengaibkan mereka yang terlibat.

"Masyarakat harus mengawal diri dan tidak memburukkan keadaan kerana perkara yang berlaku ini boleh diperbaiki, jika tidak ia akan menjadi perbalahan secara turun temurun," katanya.

Beliau juga mengharapkan masyarakat mempunyai sikap tanggungjawab agar tidak menjadikan isu itu berpanjangan.


Tiada ulasan: