Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari
ini menyelar sikap tidak konsisten bekas perdana menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad dalam isu pengurangan kuasa Yang di-Pertuan Agong
(YDPA) dalam Perlembagaan Negara.
Hishammuddin juga menyifatkan Tun Mahathir sebagai pemimpin yang
mempunyai pemikiran yang berubah-ubah mengikut kehendak politiknya.
"Kita tidak boleh mengalihkan tiang gol sebab kita bertanggungjawab.
Hujah Mahathir ketika itu adalah untuk memastikan bahawa tidak ada
institusi tertentu yang menidakkan usaha membangunkan negara bangsa.
"Namun hari ini hujahnya berbeza sama ada ketika itu mereka ikhlas nak
sokong usaha itu dan sekarang meminta maaf. Buat tidak serupa bikin.
Konsistensi dalam perjuangan akan dinilai oleh generasi akan datang,"
katanya di sidang media selepas hadir merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian
Gombak, pagi tadi.
Hishammuddin mengulas tindakan Mahathir yang memohon maaf kerana
meminda Perlembagaan Persekutuan yang membuat kelulusan dan tandatangan
YDPA tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai
undang-undang.
Mahathir bagaimanapun menegaskan bahawa apa sahaja yang mempunyai
kaitan dengan hak YDPA untuk mengisytiharkan darurat, masih memerlukan
tandatangan baginda.
Reaksi Mahathir itu berkenaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang
memberi perdana menteri kuasa untuk mengisytiharkan zon keselamatan, di
mana pasukan keselamatan boleh mengambil alih.
Pada tahun 1994, kerajaan yang diterajui Mahathir meluluskan pindaan
Perlembagaan untuk membolehkan undang-undang yang diluluskan oleh
Parlimen dan Senat untuk menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari,
tidak kira sama ada YDPA memberikan perkenan atau tidak.
Sementara itu menyentuh komen Mahathir berkenaan Bangsa Johor,
Hishammuddin menyeru pemimpin berkenaan menggunakan hujah yang lebih
rasional dalam berkata-kata.
"Ia digunakan sebagai isu untuk memecahbelahkan kita. Tetapi perkara
sebegini boleh menyatupadukan kita. Apabila menyentuh soal raja, Bangsa
Johor yang wujud sejak 1920 dengan tidak memahami apa yang telah dilakui
di Johor akhirnya menyebabkan orang Johor bersatu untuk berdean dengan
serangan yang tiada asas," tegasnya.
Isu berkenaan timbul selepas Mahathir berkata dalam satu forum semalam
bahawa semangat kebangsaan Johor adalah tidak sihat bagi Malaysia dan
memberi amaran ia boleh membawa keruntuhan persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan