MALAYSIAKINI
Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perbicaraan yang dihadiri
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah semalam tidak
mencukupi bagi sesetengah ahli politik pembangkang.
Pemuda AMANAH dalam kenyataannya hari ini mahu bekas perdana menteri
itu turut menghadiri 'perbicaraan kes Liwat 2' melibatkan bekas
timbalannya itu dan membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat
Malaysia.
Naib ketua pemudanya, Shazni Munir berkata, pertemuan kedua-dua tokoh
itu mengundang persepsi seolah-olah mereka telah 'mengangkat bendera
putih' dalam perseteruan politik mereka.
"Pemuda AMANAH berpandangan Mahathir perlu membuktikan kejujuran beliau melalui dua kaedah.
"Menghadiri perbicaraan kes 'Liwat 2' melibatkan mantan timbalannya
itu dan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia
atas cela laku sepanjang beliau memimpin kabinet Malaysia," kata Shazni.
Bagaimanapun, kes liwat membabitkan Anwar telah selesai di mahkamah
persekutuan, kecuali kes qazaf yang masih diteruskan di mahkamah.
Dalam kenyataannya, Shazni mengaitkan Mahathir dengan beberapa
tindakan zalim seperti tragedi Memali, tangkapan terhadap pemimpin
pembangkang dalam Operasi Lalang 1987 dan penggunaan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) ketika berkuasa.
"Jika beliau boleh memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu, rasanya
tidak susah untuk beliau memohon maaf secara terbuka kepada rakyat
Malaysia. Ya, rakyat sedia menerima (permohonan maaf) jika Mahathir
tidak terus keras kepala," katanya.
Anwar menghadapi hukuman penjara selama lima tahun selepas mahkamah
persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan bersalah terhadap
tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ia merupakan tuduhan liwat kedua membabitkan Anwar selepas
menghadapi tuduhan sama ketika era Mahathir, yang menyaksikan
pemecatannya dari Umno dan kerajaan.
Anwar menyifatkan kedua-dua tuduhan tersebut sebagai konspirasi
politik dan kini meneruskan prosiding qazaf terhadap Saiful Bukhari dan
Tan Sri Shafee Abdullah.
Semalam, bekas perdana menteri paling lama berkuasa di Malaysia itu
membuat kejutan apabila hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi
menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar mencabar Akta Majlis
Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Mereka juga dilihat bertegur sapa dan bersalaman di mahkamah dalam
pertemuan pertama kali yang dirakam sejak pemecatan Anwar 18 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan