Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia
pada jam 10.10 pagi tadi merupakan seorang tokoh politik yang disegani
ramai pihak, termasuk pesaingnya.
Haron menghembus nafas terakhirnya di Hospital Stanford University, Amerika Syarikat disamping isteri dan anak-anaknya.
Allahyarham dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Simpang Empat, Perlis.
Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah di
Bohor Mali, dan Madrasah al-Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah
al-Islamiah.
Bukan itu sahaja Allahyarham turut mendapat pendidikan di Kolej Islam
Malaya kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir
dalam bidang Syariah dan Pendidikan sebelum menerima Ijazah Kedoktoran
(Ph.D) dalam bidang yang sama di Universiti Darul-Ulum Qahirah.
Allahyarham memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pensyarah di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kemudian dilantik sebagai Ahli
Majlis Penasihat Syariah di beberapa institusi bank seperti CIMB, RHB
dan Public Bank, selain Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya
Sekuriti Malaysia (SSM).
Kerjaya dakwahnya pula bermula selepas menjadi Ahli Jawatankuasa
Persatuan Ulamak Malaysia; Ahli Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam; Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji,
Penasihat Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Malaysia (Darussyifa') dan
Pengerusi Kluster Dakwah, Majlis Perundingan Islam Malaysia.
Penyertaan dalam Politik
Langkah politiknya dalam PAS mula aktif sejak 1974 dan dilantik sebagai
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1975 hingga 1983.
Allahyarham juga pernah mewakili PAS dalam dua Pilihan Raya Umum pada
2004 dan 2008 untuk Parlimen Arau. Beliau bagaimanapun tewas terhadap
calon Umno-Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya berkenaan.
Pendakwah terkemuka ini amat disegani bukan sahaja di kalangan pemimpin
dan ahli PAS, bahkan pesaing-pesaing politiknya yang lain, termasuk
Umno.
Pemergian tokoh politik ini disifatkan satu kehilangan yang besar buat
PAS selepas parti itu kehilangan Nik Aziz, yang juga pemimpin kanan PAS
yang amat dihormati oleh parti dan pesaing politik.
Ini kerana Haron antara pemimpin parti yang menyokong kerjasama antara
PAS dan Umno yang pernah menjadi polemik politik di kalangan ahli-ahli
parti yang menganggap 'ia mustahil untuk dilakukan'.
Hujah Haron, sebagai parti yang mendokong Islam, PAS tidak boleh
menolak perkara yang boleh mencapai dan memerlukan pertolongan kerana ia
merupakan suruhan Allah SWT asalkan ia membawa kebaikan dan
bertunjangkan kebajikan.
Keadaan Kesihatan
Pendakwah terkemuka ini mula menjalani pembedahan pintasan jantung pada
2 April 2012 di Hospital Stanford San Francisco, California.
Haron, pada beberapa hari lalu berlepas ke AS di hospital yang sama
untuk mendapatkan rawatan jantung berhubung masalah jantung yang
dihadapinya.
Beliau dikhabarkan dalam keadaan koma pada malam tadi dan bergantung
kepada alat bantuan pernafasan selepas mengalami pendarahan yang teruk.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan