HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 September 2016

Kerjasama PKR-PPBM tak akan bertahan lama - Penganalisis

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik menjangkakan kerjasama yang terjalin antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.
 
Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajain Polisi UiTM, Prof Dr Nasrudin Mohammed berkata, ini kerana kerjasama berkenaan adalah berasaskan kepada satu strategi untuk memperoleh kuasa dan pengaruh semata-mata.   
 
"Ini adalah perjuangan politik sementara yang menggunakan kelebihan semasa dengan tujuan untuk mengubah landskap kepemimpinan politik semasa," katanya kepada Antarapos.
 
Mengulas mengenai hala tuju kerjasama antara dua tokoh politik yang pernah berseteru hampir dua dekad itu, beliau tidak menolak kerjasama itu berlandaskan kepentingan masing-masing.
 
Nasrudin berkata, langkah Dr Mahathir yang menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Anwar memperlihatkan bahawa pemimpin berkenaan sememangnya seorang strategis yang mengatur rancangan secara tersusun dan teliti.
 
Beliau merujuk kepada langkah Dr Mahathir dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dimulai dengan Gerakan Selamatkan Malaysia menerusi Deklarasi Rakyat, dan kemudian disusuli penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang diakhiri dengan tawaran kerjasama bersama Anwar.
 
"Apa yang dilakukan Tun Dr Mahathir itu sebahagiannya dilengkapi oleh sebahagian besar pembangkang tanpa mempersoal niat di sebalik setiap pihak yang sokong beliau.
 
"Dengan cakap-cakap dan khabar angin bahawa Mahathir disokong kuat oleh pembangkang khususnya oleh PKR, memberikan tanda beliau tidak berseorangan dalam perjuangan ini. 
 
"Itu kelebihan yang ditunjukkan Tun Dr Mahathir dan kelebihan ini beliau manfaatkan melalui penglibatan bukan seorang dua pemimpin pembangkang yang berpengaruh," kata beliau.
 
Mahathir pada minggu lalu menyatakan beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan Anwar, kerana sudah ada kerjasama dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada pertemuannya dengan Anwar beberapa hari sebelum itu ada membincangkan kerjasama antara PPBM dengan PKR.
 
Menurut Dr Mahathir lagi, kerjasama dengan parti pembangkang diperlukan jika mahu memenangi pilihan raya umum akan datang.
 
 

Tiada ulasan: