PUTRAJAYA: Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, 'pertemuan bersejarah'
antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh
menimbulkan rasa tidak puas di kalangan ahli PKR yang mungkin membawa
kepada tindakan keluar parti.
Menteri Dalam Negeri itu turut menolak tanggapan bahawa 'perdamaian'
yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin boleh
memperkuatkan sokongan untuk pembangkang.
"Akhirnya, Dr Mahathir bertemu Anwar di mahkamah untuk raih sokongan
PKR. Beliau lupa 20 tahun lalu ramai meninggalkan Umno kerana PKR di
atas apa yang beliau lakukan terhadap Anwar.
"Pertemuan ini akan menyebabkan ahli PKR berasa tidak puas hati. Ia
sebenarnya membantu Barisan Nasional dan Umno pada pilihan raya umum
akan datang.
"Ia juga akan menimbulkan rasa tidak senang mereka yang boleh
mengakibatkan mereka untuk meninggalkan PKR," kata Nur Jazlan pada
sidang media di sini, Selasa.
Tambah Nur Jazlan, pengaruh Dr Mahathir berkurangan dan ramai belia
hari ini tidak biasa dengan legasi bekas perdana menteri itu.
"Mereka (Pembangkang) telah berpecah dengan teruk. Tetapi mereka sedang
mencari seseorang yang boleh menjadi 'unfier' kepada mereka... mereka
nak cari Dr Mahathir," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan