HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Oktober 2016

DUA KES YANG POLIS PERLU SEGERA BERTINDAK

shahbudindotcom


Akhirnya Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sedar wujudnya laporan polis yang sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang semata-mata bertujuan untuk kepentingan politik sahaja.

"Kita pun nampak trend itu, buat report itu, buat report ini...

"Kita telah ambil keputusan bahawa jika ada pihak yang didapati sengaja menggunakan polis untuk kepentingan politik mereka, kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 182, Kanun Keseksaan atas dakwaan membuat laporan palsu," katanya lagi.

Pihak polis tentunya lebih arif yang mana satu laporan polis yang dibuat secara main-main dan untuk kepentingan politik pihak tertentu dengan laporan yang betul-betul untuk kepentingan umum jika dilihat kecenderungan yang berlaku kebelakangan ini.
Bagaimanapun, untuk memudahkan pihak polis, sekurang-kurangnya ada dua laporan polis yang boleh dipertikaikan kewajarannya dan perlu diambil tindakan.

- pertama, laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap "Tiga Tan Sri"  yang didakwa berkomplot mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Laporan polis itu kemudian disahkan oleh Khalid sendiri adalah berdasarkan andaian semata-mata.

Dalam erti kata lain, laporan polis yang hanya berdasarkan andaian adalah bersifat politik dan untuk kepentingan tertentu sahaja. Tidak ada fakta dalam andaian, ia boleh jadi hanya berdasarkan mimpi, khayalan, igauan, maklumat tidak sahih atau seumpamanya.

Maknanya, laporan polis itu boleh dianggap main-main dan telah membazirkan sumber polis.

- kedua, laporan polis yang dibuat oleh pemimpin Gerakan Baju Merah, Jamal Md Yunos terhadap Bersih yang didakwanya diresapi IS.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad ada memberi kenyataan sehari selepas itu bahawa laporan polis tersebut  tidak perlu disiasat kerana lebih bersifat politik.

Malah Nur Jazlan juga menyebut tiada keperluan untuk pihak polis melayan dakwaan Jamal yang bersifat politik itu.

Maka, dalam waktu terdekat ini, sekurang-kurangnya dua kes tersebut adalah perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak polis kerana ia disahkan sebagai andaian dan bermotif politik oleh Ketua Polis Negara serta Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis itu sendiri.

Jika tidak, orang yang sama mungkin akan terus bermain-main dengan laporan polis yang hanya bertujuan untuk main-main serta bagi memenuhi kepentingan politik mereka. (SH 07/10/2016).
shahbudindotcom

Ketika Muhyiddin Yassin serta Mukhriz Mahathir dipecat daripada UMNO dan kemudian Shafie Apdal meninggalkan parti itu beberapa bukan dahulu, perbualan ramai segera tertumpu kepada  nasib Johor, Kedah dan Sabah dalam pilihanraya umum akan datang.

Dipersoalkan apakah melalui tindakan itu,  UMNO dan BN dapat terus mengekalkan kuasanya di ketiga-tiga negeri tersebut?

Setelah beberapa bulan berlalu, dengan wujudnya PPBM serta ramai bekas pemimpin serta ahli UMNO Kedah sudah bertukar angin, negeri itu hampir pasti akan bertukar kerajaan lagi dalam PRU 14 nanti.

Di Sabah, melalui gelombang untuk mengembalikan kuasa kepada parti tempatan yang sedang digerakkan oleh Shafie Apdal bersama beberapa bekas pemimpin PKR dan DAP, tidak mustahil sejarah pemerintahan UMNO akan turut berakhir serta mengulangi sejarah sepertimana Usno, Berjaya dan PBS berkuasa dahulu.
 
 
 
 
Di Johor pula, walaupun geloranya tidak begitu kelihatan, sedar tak sedar sebenarnya satu sejarah baru telah tercatit melalui wujudnya PPBM yang diketuai oleh Muhyiddin dan dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Dalam piliharaya 2013 lalu, daripada 56 kerusi DUN di Johor, 18 daripadanya dimenangi oleh parti-parti pembangkang atas nama Pakatan Rakyat.

Namun, setelah wujudnya PPBM dan Dr Shahruddin Md Salleh, Adun Jorak yang sebelum ini mengumumkan perletakan semua jawatannya UMNO serta semalam dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu, secara automatiknya telah menyebabkan  kerusi pembangkang bertambah kepada 19 jumlahnya.

Dengan BN kehilangan satu kerusi, menjadi 37 daripada 38 sebelumnya  dan pembangkang pula bertambah menjadi 19 kerusi, bermakna buat pertama kalinya dalam sejarah Johor menyaksikan UMNO dan BN di negeri itu tiada lagi kuasa majoriti dua pertiga sebagaimana ia berjaya dikekalkan selama ini.

Sejarah ini seharusnya menjadi perangsang dan tonik buat parti-parti pembangkang di Johor untuk meneruskan usaha dan kesepakatan bagi mencipta lebih kegemilangan dalam  pilihanraya umum akan datang.

Melalui 19 kerusi yang sudah ada dalam genggaman, gabungan PPBM bersama Pakatan Harapan hanya perlu menambah minima 10 kerusi lagi  untuk menyaksikan berakhirnya kuasa UMNO dan BN di Johor sebagai kenyataan.

Jika itu dapat diusahakan, Najib Razak dan skandal kewangannya akan turut tercatat dalam sejarah sebagai punca utama hilangnya kuasa UMNO di negeri di mana ia dilahirkan pada 1946 dahulu.


Tiada ulasan: