HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Oktober 2016

Kekeliruan Akta 355 datang daripada sikap PAS, selar Khalid Samad

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah membidas dan memberi amaran kepada PAS supaya tidak menyalahkan pihak lain sekiranya penerangan bersabit Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah kepada bukan Islam menemui kegagalan.
 
Penegasan itu dibuat Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sebagai reaksi terhadap dakwaan Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa bukan Islam terkeliru dengan RUU berkenaan kerana fitnah Amanah dan DAP.
 
"PAS kena menjadi dewasa dan bertanggungjawab atas tindakan mereka.
 
"Masyarakat tak faham dan keliru sebab Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat tindakan tidak bertanggungjawab kerana hanya membaca (usul) dan tidak membahasnya. 
 
"Apabila baca sahaja dan tidak jelaskan melalui pembentangan (di Dewan Rakyat), apa yang mereka (PAS) hendak dan maksudkan (menyebab) bermacam tafsiran yang timbul," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS mendakwa DAP dan Amanah menjadi penghalang dalam usaha partinya memberi penerangan berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah atau dikenali sebagai Akta 355 kepada bukan Islam.
 
Nik Abduh juga berkata hal itu terbukti apabila masyarakat bukan Islam memberi reaksi positif selepas beberapa siri penerangan yang dilakukan PAS.
 
Menulis dalam postingnya di laman Facebook, Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mendakwa DAP sebagai musuh Islam, dan Amanah adalah fitnah dalam tubuh umat Islam.
 
Khalid, seterusnya menyifatkan PAS sebenarnya yang bertindak melulu sehingga menyebabkan kekeliruan, termasuk di kalangan ahli partinya sendiri.
 
"Masyarakat keliru, termasuk orang PAS sendiri yang mengatakan ia hudud dan sebagainya. Bukan pihak kita (Amanah) yang kata," ujar Khalid.
 
Undang-undang itu dibentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei lalu untuk memperkasakan mahkamah syariah dan beliau meminta perbahasan usul persendiriannya itu ditunda ke sesi Parlimen pada Oktober depan.
 
Katanya, langkah itu bagi memberi ruang kepada ahli parlimen terutamanya bagi yang bukan Islam menelitinya, sekali gus memastikan perbahasan yang matang dan menyeluruh.
 
Pemerkasaan itu bagi membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah ditambah khususnya dari segi skop menjatuhkan hukuman.
 
Mahkamah Syariah kini hanya boleh mengenakan hukum maksimum penjara tiga tahun, sebatan rotan tidak lebih enam kali dan denda maksimum RM5,000.
 
 

Tiada ulasan: