HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Oktober 2016

Kementerian Pertanian cari kaedah terbaik kitar semula sisa buangan haiwan

 
 
Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery Cheek
 
 
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mencari kaedah terbaik kitar semula pengurusan sisa buangan haiwan ternakan dalam usaha melestarikan pertanian di negara ini.
 
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia penting bagi memastikan sektor ternakan dalam pertanian mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan baja kimia dan racun perosak.
 
Menurut beliau, sektor penternakan dan pertanian belum boleh dikatakan mengamalkan pertanian hijau sepenuhnya kerana masih terdapat penggunaan baja kimia.
 
"Ia bukan mudah untuk dilaksanakan kerana sudah tentu memerlukan kajian mendalam supaya bersifat lestari alam sekitar untuk jangka masa panjang mengurangkan penggunaan bahan perosak alam sekitar.
 
"Mungkin pakar-pakar boleh mengemukakan kaedah terbaik bagi pengusaha ternakan ayam, itik, lembu dan sebagainya yang masih tidak tahu apa nak buat dengan sisa buangan haiwan ini.
 
"Jika adanya satu teknologi buangan kompos dijadikan baja semula jadi tanpa kimia akan menjadi sumber baja asli yang boleh menyuburkan tanah pertanian, sudah pasti satu dasar undang-undang khusus diperlukan untuk menyelaraskan kaedah ini," katanya selepaas majlis perasmian Kongres Pertanian Antarabangsa anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) 2016 hari ini.
 
Kongres tersebut dihadiri lebih 500 peserta dalam kalangan pensyarah dan penyelidik.
 
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, kongres itu dapat membantu kerajaan menggariskan dasar yang mewajibkan sisa buangan haiwan ternakan dijadikan baja semula jadi. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: