Oleh Azizul Osman
PETALING JAYA: Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
mengelak untuk menjawab soalan media berhubung pendirian sebenar parti
itu terhadap Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang dibawa rakan sekutunya PAS.
Menurut Azizah, PKR akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas
perbentangan Bajet Alternatif Pakatan Harapan (PH), esok di bangunan
Parlimen.
"Kita akan keluarkan kenyataan rasmi (berhubung pendirian PKR mengenai
pindaan AKta 355). Esok adalah perbentangan Bajet Pakatan Harapan, lepas
itu (akan beri kenyataan)," katanya selepas selesai mempengerusikan
mesyuarat biro politik PKR di ibu pejabatnya malam tadi.
Mesyuarat yang bermula jam 8 malam itu berakhir 4 jam kemudian
rata-ratanya membincangkan mengenai pendirian sebenar parti itu terhadap
pindaan usul untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang dibawa oleh PAS.
Turut hadir adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah, Tian Chua, Shamsul
Iskandar Mohamad Akin, Dr Xavier Jayakumar serta Pengarah Pilihan Raya
parti Datuk Saifuddin Nasution.
Namun kelibat Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali tidak kelihatan dalam mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, menurut Shamsul Iskandar, pendekatan yang diambil PKR
dikira sedikit berbeza daripada parti-parti lain dalam mentafsir pindaan
yang dibawa Hadi.
"Saya fikir pendekatan yang diambil oleh PKR itu mungkin berbeza dengan
pendirian parti-parti lain. Kita lebih melihat kepada keseluruhan
Maqasid Syariah dan sebagainya. Jadi tunggulah kenyataan rasmi PKR,"
katanya.
Biarpun diasak beberapa kali mengenai pendirian sebenar PKR, Ahli
Parlimen Bukit Katil itu menegaskan ia belum muktamad lagi kerana
mengambil kira kerjasama dalam PH dan hubungan tahaluf siyasi bersama
PAS.
"Isi kandungan saya belum boleh dedahkan lagi kerana kita belum
putuskan apa urutan dan sebagainya. Saya fikir elok tunggu kenyataan
rasmi dan ia akan memberikan pencerahan kepada pendirian PKR," katanya.
Kepimpinan PAS sebelum ini optimis usul presidennya tetap dibentangkan
pada sesi Parlimen kali ini meskipun kedudukan usul dalam kertas
perintah aturan urusan mesyuarat berubah-ubah.
Antaranya Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad.
Usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355 yang dijangka
dibentang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditolak ke
bawah dalam kertas perintah semalam.
Usul Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), telah diturunkan daripada
senarai nombor 4 kelmarin kepada kedudukan terkini pada nombor 7 aturan
Mesyuarat.
Rang undang-undang untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah
itu sebelum ini ditentang hebat oleh parti bukan Islam antaranya DAP,
MCA, Gerakan, MIC, dan parti-parti komponen BN Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan