HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Oktober 2016

RELAKSLAH KHALED...

 shahbudindotcom

Walaupun cuba berselindung, Menteri Besar Johor, Khaled Nordin nampaknya seperti terganggu dan mula resah dengan kehilangan majoriti dua pertiga BN di negeri itu berikutan penyertaan Adun Jorak, Dr. Shahruddin Md Salleh kepada PPBM.

Katanya, kehilangan majoriti dua pertiga bukanlah suatu masalah kerana BN masih membentuk kerajaan yang kuat serta memiliki majoriti yang selesa untuk mentadbir negeri itu.

"Kita tidak dalam keadaan yang lemah kerana kita masih memiliki majoriti yang besar dan selesa, bukan semata-mata bergantung kepada nombor.

"Sesetengah kerajaan kerajaan negeri turut tiada majoriti dua pertiga, tetapi tetap berjalan tanpa masalah.
 
 
 
 
"Parlimen juga sudah lama tiada majoriti dua pertiga, begitu juga Perdana Menteri, namun tiada pun dunia nak kiamat," demikian antara ulasan Khaled berhubung perkembangan terbaru yang berlaku di Johor.

Relakslah Khaled....kenapa semacam saja reaksi dan ulasan kali ini sehingga mengaitkan negeri-negeri lain, Parlimen dan Perdana Menteri yang juga tidak memiliki majoriti dua pertiga serta kaitan  dengan kiamatnya dunia?

Simpanlah sikit resah dan gelisah itu. Tidakkah selama ini beliau dikenali sebagai pemimpin yang tenang dan "cool"?

Dunia akan kiamat atau tidak dalam waktu terdekat atau sama ada kehilangan majoriti dua pertiga di Johor itu akan menyebabkan UMNO bakal berkubur di negeri kelahirannya sendiri, tiada siapa pasti. Ia adalah ketentuan Tuhan. Ia mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku. Tarikh berlakunya adalah rahsia Tuhan.

Tetapi apa yang Khaled harus sedar, sebelum dunia kiamat juga akan berlaku beberapa petunjuk yang dikenali sebagai tanda kecil dan tanda besar. Selalu disebut sebagai kiamat kiamat kecil dan kiamat besar, sebelum berlakunya kiamat yang sebenar.

Kiamat tidak berlaku secara mengejut, melainkan diperturunkan dahulu petanda kecil dan besar itu.

Begitu juga dengan manusia, dalam  proses biasa sebelum seseorang itu diambil nyawanya, ada tanda-tanda yang  tertentu seperti sakit, uzur, terlantar di hospital dan sebagainya.

Kalau sakit dan uzur, tetapi tidak berubat, maka cepatlah matinya. Jika rajin berubat dan menjaga kesihatan, mungkin tarikh kematian dapat dilewatkan. 

Apa yang berlaku di Johor sekarang, anggaplah ia sebagai tanda-tanda kiamat kecil atau sakit yang sedang dialami oleh UMNO dan BN di negeri itu. Adalah salah untuk menganggap ia bukan masalah atau merasakan kiamat tidak mungkin berlaku.

Perubahan dan pertukaran kerajaan adalah perkara biasa di mana-mana celah dunia sekali pun. Jika kerajaan-kerajaan Islam yang gemilang di zaman silam pun boleh tumbang, hilang dan akhirnya hanya tinggal dalam catatan sejarah, berlakunya kiamat kepada UMNO tentulah juga bukan sesuatu yang mustahil.

Kecuali Tuhan, kita tidak tahu bila kiamat sebenar bagi UMNO dan BN di Johor, tetapi tanda-tanda yang berlaku sekarang adalah iktibar yang tidak harus diabaikan.


Tiada ulasan: