Tengku Amir Shah kemudian keluar dari Selangor selama
7 hari, seperti amalan ditetapkan sebelum kembali semula pada Sabtu
depan bagi menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli di
istana sama.
KLANG: Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dalam majlis penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.
Dalam istiadat pemasyhuran gelaran dan mengangkat sumpah serta menjunjung duli itu, pengisytiharan pemasyhuran dilakukan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah selaku Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
“Sultan Selangor berkenan supaya istiadat diadakan hari ini di Istana Alam Shah, Klang. Adat istiadat ini adalah warisan turun-temurun yang diamalkan sultan-sultan sejak pemerintahan beraja di negeri
Selangor,” isytihar Tengku Sulaiman Shah.
Dalam istiadat itu, Tengku Amir Shah mengangkat sumpah dengan melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas, malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Selangor.
Baginda kemudiannya menandatangani watikah Lafaz Angkat Sumpah Gelaran yang disaksikan Tengku Sulaiman Shah, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor kepada anakandanya, Tengku Amir Shah sejurus istiadat mengangkat sumpah dan menjunjung duli.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid membacakan doa sejurus istiadat pemasyhuran selesai.
Tengku Amir Shah kemudian berangkat meninggalkan Balairung Seri untuk keluar dari Selangor selama 7 hari, seperti amalan ditetapkan sebelum kembali semula pada Sabtu depan (15 Oktober) bagi menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli di istana sama.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; barisan exco, adun Selangor serta pegawai kerajaan.
Keberangkatan keluar Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin dari Balairung Seri sejurus selesai istiadat pemasyhuran disertai 9 das tembakan meriam sebagai simbol 9 daerah di Selangor.
Tengku Amir Shah, 25, diputerakan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat dan merupakan anak bongsu daripada 3 beradik, hasil perkahwinan Sultan Sharafuddin dengan bondanya, Puan Nurlisa Idris, seorang warganegara Amerika Syarikat.
Baginda mempunyai 2 kekanda, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.
Tengku Amir Shah mendapat pendidikan awal rendah dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur, sebelum melanjutkan pelajaran di Wellington College, United Kingdom dari 2004 hingga peringkat A-Level pada 2009.
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, United Kingdom pada 2014.
Pada 23 September 2014 sehingga 5 Disember 2014, baginda menjalani kursus persediaan ketenteraan rapi di Akademi Tentera Darat (ATD), Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tengku Amir Shah kemudian meneruskan latihan ketenteraan ‘Commissioning Course Intake 152’, sebelum mendaftar diri di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom dan baginda menamatkan latihan dengan cemerlang pada 15 April 2016.
Rentetan kejayaan itu, baginda ditauliahkan pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam satu upacara di Dataran PARAWOOD, Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para), Kem Terendak, Melaka pada 19 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan